Sameer Danial dan pasangan di hari pernikahan mereka pada pagi Jumaat lalu.

LAFAZ pertama sebut nama sendiri, yang kedua mas kahwin sebanyak RM500 juta tunai sehingga tular satu Malaya dan alhamdulillah masuk ketiga selesai juga.

Itu detik-detik penuh gemuruh bercampur kesyukuran buat Sameer Danial Nordin,30, selepas klip video akad nikahnya tular di media sosial sejak semalam gara-gara tersasul ketika melafazkan mas kahwin “pecah rekod” sepanjang zaman.

Walapun ada yang melabel majlis akad nikahnya sekadar untuk kandungan media sosial, Sameer Danial tampil menafikan perkara itu.

“Saya sekadar ingin berkongsi saat terindah dan tidak langsung jangka ia akan tular,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Katanya, mana mungkin perkara itu dibuat-buat, nak pula pada hari begitu penting buat dirinya bersama pasangan tercinta, Nurul Nadia Johari, 29.

“Ada yang kata saya buat begitu demi ‘content’. Tak mungkin saya nak buat sebegitu di hari bahagia saya,” ujarnya.

Baca artikel berkaitan :Mayat lelaki tanpa baju ditemui di dalam longkang

Sameer Danial selamat ijab kabul bersama pasangan dalam satu majls yang berlangsung pada pagi Jumaat lalu di Masjid Pekan Gurun, Kedah.

Mengulas lanjut, Sameer yang bekerja sebagai penghantar makanan berkongsi cerita bahawa rakaman yang tular tersebut adalah pada lafaz akad yang kedua.

Jelas Sameer, dia tidak dapat menggambarkan perasaannya ketika itu kerana yakin sudah memberi sepenuh tumpuan sambil memejamkan mata sewaktu melafazkan akad itu.

Bagaimanapun, apabila usai lafaz kedua, Sameer berkongsi bahawa dia terpinga-pinga dan pelik apabila melihat orang di sekeliling ketawa sebelum sedar telah tersilap sebut.

Tambahnya, hari sebelum kejadian ahli keluarga telah meminta dirinya untuk berlatih melafazkan akad namun menolak untuk berbuat sedemkian.

“Bila sampai waktu akad nikah itu, jika Allah nak tunjuk kebesaranNya, tiada siapa boleh halang.

“Daripada situ saya tersedar betapa hinanya diri saya sehinggakan setiap percakapan saya, Allah yang kawal,” jelasnya optimis.

Sameer dan pasangan bergambar bersama tetamu pada majlis akad nikah yang berlangsung di Gurun, Kedah.

Bagaimanapun, jelas Sameer, dia mengambil sisi positif di atas setiap perkara yang berlaku.

“Saya anggap perkara ini sebagai pengikat kasih antara saya dan isteri”.

Pada majlis itu, Sameer telah menyerahkan mas kahwin sebanyak RM500 serta tiada hantaran buat isteri tercinta.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram