
PENDUDUK Palestin di Tebing Barat terus bermandi darah sejak peningkatan keganasan oleh pihak berkuasa rejim Zionis di wilayah itu bermula hujung Mac lalu.
Ia susulan operasi pasukan keselamatan rejim memburu pejuang Palestin di Tebing Barat khasnya di Jenin hampir setiap hari setelah mereka didakwa terbabit dalam serangan ke atas penduduk Israel di negara haram berkenaan.

Kematian kira-kira 19 penduduk Israel itu nyata menimbulkan kemarahan dan tindak balas rejim yang berlanjutan hingga sekarang.
Keganasan pihak berkuasa rejim Zionis itu menyaksikan kira-kira 40 penduduk Palestin terbunuh dalam operasi oleh pasukan keselamatan rejim.
Ironinya, kematian itu bukan sahaja melibatkan orang awam malah aktivis dan wartawan termasuk seorang wartawan Al Jazeera Shireen Abu Aqleh.
Ketika angka kecederaan dan tahanan melibatkan penduduk Palestin tidak terhitung jumlahnya, keganasan pasukan keselamatan rejim berlanjutan.
Terbaharu, Mahmoud Fayez Abu Ayhour, 27, dari bandar Hebron meninggal dunia selepas ditembak di perut menggunakan peluru hidup Khamis lalu.
Persoalannya sampai bila masyarakat dunia khasnya negara Islam boleh menutup mata dengan membiarkan keganasan rejim Zionis di Tebing Barat begitu sahaja.
Adakah mereka rela melihat kematian saudara sesama Muslim yang kebanyakannya masih lagi muda terus ‘disembelih’ rejim Zionis hampir setiap hari.
Jika perang antara kumpulan pejuang Palestin dan Israel di Gaza selama 11 hari tahun lalu boleh dihentikan dalam tempoh singkat, mengapa tidak di Tebing Barat?
Keganasan berterusan Zionis ke atas belia Palestin juga dibimbangi adalah strategi sistematik rejim dalam usaha menggagalkan kewujudan sebuah negara Palestin merdeka.
Jelas, pencerobohan harian dilakukan Israel ke atas Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur adalah bencana nyata yang perlu diberi perhatian.
Situasi itu jika tidak dikawal dikhuatiri bakal mengundang simpati pejuang Palestin di Gaza sebagaimana berlaku semasa perang tahun 2021 yang menyaksikan seramai 261 penduduk Palestin syahid.
Bertindaklah segera sebelum terlambat.