Petir ‘Relampago del Catatumbo’ atau ‘Halilintar Catatumbo’ di Venezuela, merupakan satu fenomena aneh yang berlaku dalam ruang atmosfera bumi. Fenomena ini berupa awan petir yang membentuk garisan kilat sepanjang lima kilometer yang berlaku antara 140 hingga 160 hari dalam setahun.

Ia hanya berlaku pada waktu malam yang akan bermula ketika waktu senja dan akan berlangsung hingga ke subuh.

Pada setiap malam yang berlaku, halilintar ini akan sabung-menyabung selama 10 jam, dan setiap jam pula sebanyak 280 kali panahan petir direkodkan. Disebabkan itu, fenomena ini dikenali sebagai ‘petir kekal’ atau ‘petir abadi’ kerana ia berlaku secara berterusan dalam jangka masa yang tetap.

Petir Catatumbo, fenomena aneh yang berlaku di Venuezela.
Lokasi di mana fenomena petir ini berlaku.

Badai petir ini terjadi di dataran tanah paya berhampiran sungai Catatumbo yang terletak di Tasik Maracaiba. Di lokasi tersebut direkodkan 1.176 juta kilowatt kuasa elektrik mengalir setiap tahun dengan arus 400,000 ampere.

Petir ini boleh dilihat dari jarak 400 kilometer, yang mana ia juga dijadikan sebagai panduan arah oleh pelayar-pelayar suatu masa dulu. Beberapa pemerhati dari seluruh dunia berharap agar kawasan ini dilindungi oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) kerana fenomenanya yang menakjubkan, serta pemacu terbesar yang membentuk semula lapisan ozon di bumi.

Kenapa fenomena ini boleh berlaku?

Antara tahun 1966 dan 1970, seorang saintis bernama Andrew Zavrostky yang dibantu oleh penyelidik-penyelidik dari Universiti Andes, Colombia telah melakukan tiga ekspedisi di taman negara Juan Manuel de Aguas Negras Aguas Claras yang terletak di barat Tasik Maracaibo.

Kajian mereka mendapati fenomena petir Catatumbo ini berlaku disebabkan oleh pertembungan arus udara panas dan udara sejuk. Mereka juga membuat kesimpulan bahawa panahan petir yang bertalu-talu itu disebabkan tarikan kuasa uranium yang terpendam di bawah paya. Namun tiada pengesahan membuktikan teori ini.

Seorang lagi penyelidik, Nelson Falcon dari Universiti Carabobo yang melakukan kajian antara tahun 1997 dan 2000 mengatakan, fenomena tersebut berlaku disebabkan oleh bahan galian metana.

Walaupun terdapat beberapa kesan metana pada tumbuhan tempatan, tetapi teori tersebut telah disanggah kerana kawasan-kawasan lain di dunia yang kaya dengan sumber asli tidak berlaku fenomena sedemikian, malah negara-negara Asia tengah yang kaya dengan sumber minyak tidak merekodkan badai petir yang banyak begitu.

Kajian lain yang pernah dilakukan oleh Melchor Centeno mendapati, pembalikan angin oleh pergunungan Andes ialah penyebab utama fenomena ini berlaku.

Panahan petir terhasil dari electrical discharge melalui proses ionisasi gas-gas, terutama gas metana yang terbentuk dari bahan-bahan organik di kawasan tanah paya. Gas tersebut menjadi lebih ringan dari udara, dan ianya naik ke awan yang akan menyebabkan panahan kilat berlaku.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com