Pasukan Malaysia ketika beraksi menentang Bahrain pada perlawanan Kelayakan Piala Asia di Stadium Bukit Jalil, sabtu lalu. GAMBAR: Bernama

Apa khabar semua? Sis tahu ramai yang kecewa dengan keputusan pertemuan kelayakan Piala Asia antara Malaysia dan Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Sis pun antara jutaan rakyat Malaysia yang berharap Harimau Malaya mencatat kemenangan.

Tetapi mereka sudah cuba yang terbaik. Sis tengok mereka bermain mati-matian hingga saat-saat ahir, bagaimanapun sedikit kesilapan telah menyebabkan keputusan perlawanan berubah. Sis harap penyokong Harimau Malaya akan tidak kecewa sangat dan terus beri sokongan kepada pasukan negara.

Kejayaan tidak datang dengan segera. Dunia bola sepak ada dinamik yang lain – piala. Kalau boleh, nak rangkul dengan cepat tetapi setelah 14 tahun Sis tengok bola sepak, satu perkara yang sentiasa tak akan berubah ialah sukan ini memerlukan masa.

Bagi membina dan mencipta blueprint yang bukan sahaja berjaya tetapi cukup dinamik untuk jangka masa panjang akan melibatkan banyak  percubaan ; mungkin 5 kali, mungkin 10, mungkin 10,000.

Semua orang tahu bagaimana perjalanan  Klopp di Liverpool. Beliau mengambil masa 3 tahun hingga 4 tahun untuk membentuk kelab itu sebagai pasukan terbaik di dunia.

Pada masa sama, beliau membina reputasi sebagai salah seorang pengurus terbaik yang pernah dilihat.

Itulah kecantikan bola sepak – bukan pemain sahaja yang belajar, tetapi jurulatih-jurulatih pun turut mengikut perjalanan tersebut.

Bila kita membuat sesuatu dengan harapan ia akan membawa hasil dengan cepat, memang akan berhasil tetapi ia tidak akan bertahan lama.

Manchester United ambil Jose Mourinho bekerja sebab mereka tahu beliau merupakan seorang ‘serial winner’ – seorang pengurus yang boleh membawa kejayaan dalam masa singkat.

Bagaimanapun  Mourinho jatuh dengan ‘sumpahan musim ketiga’ yang menghantui beliau sejak dulu lagi.

Kalau harap hasil cepat, habis pun cepat juga. Macam makan ‘fast food’, mati pun ‘fast’ juga.

Dalam hidup pun macam tu, mana ada duit yang jatuh dari langit. Rezeki bukan senang dapat. Ia perlukan usaha dan istiqamah untuk peroleh pendapatan  jangka masa.

Kita tahu bola sepak bukan sahaja soal pemain sahaja, tetapi juga jurulatih, pengurusan, bentuk latihan, strategi dan sebagainya.

Pan Gon

Bukan senang mencipta satu ‘blueprint’ yang berkesan. Berhasil satu hal. Ia perlu cukup dinamik supaya boleh dibuah suai, boleh dilentur untuk memeningkan pihak lawan, tetapi sehebat mana pun ‘blueprint’ tu, keberhasilannya akan sentiasa bergantung kepada pemain-pemain juga.

Sis terbaca satu artikel daripada The Athletic tentang Ralf Rangnick sepanjang tempoh beliau bersama Manchester United. Sekarang beliau bersama pasukan kebangsaan Austria.

David Alaba berkata, Rangnick tidak diberikan masa yang cukup ketika di United. Alaba berpendapat, Rangnick merupakan jurulatih yang baik. Ada juga laporan dalam skuad Austria berkata yang mereka ‘terjual’ dengan visi jurulatih Jerman tersebut.

Apa yang Sis belajar daripada artikel itu ialah kalau sesuatu pasukan itu menunjukkan daya dan minat memperbaiki diri, ia tidak akan mengambil masa lama untuk menerapkan strategi berkesan.

Masa itu penting tetapi yang akan membuahkan hasil adalah apa yang kita lakukan.

Ramai jurulatih dibuang sama ada sebab mereka kehabisan masa atau masa itu dibazirkan. Kadang-kadang bukan salah mereka tetapi salah pengurusan tak reti nak dapatkan tenaga yang diperlukan. Pada masa yang sama mereka juga menghadapi tekanan daripada penyokong.

Untuk Sis, kebanyakan jurulatih kena buang sebab penyokong tak reti sabar.  Tak sempat bernafas pun dah kena kritik macam-macam.

Sis faham mungkin mereka makin sakit hati, tengok macam tak ada perubahan tapi tu lah kadang-kadang baru 1-2 bulan ingat dah boleh menang pertandingan besar-besar. Itu bukan masalah jurulatih, itu masalah korang lah.

Bola sepak ini memang pentingkan piala tetapi untuk Sis legasi pun penting.

“Legasi je lebih, piala tak menang buat apa?”

Habis tu, kalau tak menang piala, nak tukar kelab ke? Bukan ke bola sepak ‘the beautiful game’? Sebuah sukan yang ikonik dan bersejarah?

Ye lah bila kita cakap pasal bola sepak ini, setengah orang – macam Sis – bukan sahaja sayang kepada kelab kita sebab setia, tetapi sebab kita jenis penyokong yang jatuh cinta dengan sejarah dan budaya yang ditinggalkan. Itulah tunas kesetiaan kita.

Ingat tak dulu Chelsea tukar jurulatih macam tukar baju? Tak payah macam dulu lah, sekarang pun macam itu juga. Sebab mereka kalau boleh setiap tahun nak tambah piala dalam kabinet dan benda tu tak salah. Untuk mereka, strategi tu berbaloi tetapi untuk Sis, ia tidak meninggalkan sebuah legasi.

Sis harap Pang Gon diberikan masa yang cukup untuk meninggalkan sebuah legasi yang ‘ikonik’ untuk sejarah bola sepak Malaysia. Sis harap beliau menjadi titik permulaan buat era bola sepak yang baharu.

Artikel ini bukan sahaja mesej kepada penyokong kelab tetapi juga  penyokong Harimau Malaya yang sudah lama menantikan kejayaan Malaysia dan Sis yakin penantian itu akan berbaloi.

Dengan masa, kita membina. Kalau runtuh, kita bina semula.

  • Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM