Maritim Malaysia Selangor menahan sebuat bot barter trade sarat muatan pelbagai jenis ubat kawalan di perairan Tanjung Harapan semalam./ Gambar Maritim Malaysia Selangor.

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuat bot barter trade sarat dengan muatan pelbagai jenis ubat kawalan di perairan Tanjung Harapan, Klang kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan ini dibuat berikutan maklumat risikan mengenai vesel mencurigakan di perairan Tanjung Harapan.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati bot dikendalikan lima kru tekong yang kesemuanya warga Indonesia berumur lingkungan 23 hingga 62 tahun dan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Namun tekong dan kru telah gagal mengemukakan permit berkaitan barangan yang dibawa.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot telah menemukan sejumlah sembilan kotak pelbagai jenis ubat kawalan yang dimuatkan di atas bot itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Baca: KKM jamin bekalan ubat terkawal, tidak perlu pembelian panik

Permintaan meningkat, pengilang ubat tingkatkan pengeluaran

Menurut Siva Kumar, tekong dan kru beserta muatan ditahan dan dibawa ke pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Racun 1952.

“Maritim Malaysia akan terus menguatkuasakan undang-undang di laut bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Perairan negara.

“Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau di talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera,” jelasnya.