JIKA pembaca masih ingat minggu lepas saya paparkan kisah isteri minta cerai sebab tidak tahan selalu dipukul suami. Rupanya cerita tersebut kebetulan mendapat sambutan daripada seorang pembaca yang juga menceritakan masalah yang sama, suami baran dan kaki pukul. Tetapi dia lebih teruk lagi, terperangkap dengan hutang beratus ribu. 

Agaknya dalam dunia yang semakin maju sekarang, ramai suami yang suka pukul isteri untuk melepaskan masalah kehidupan mereka yang tidak menentu atau memang kaki pukul sejak kecil. Apakah kerana mereka lihat keadaan yang sama dalam keluarga mereka? 

Kata Puan Shikin, “sudahlah kaki pukul, cemburu pula. Suka paksa ikut arahannya, jika bantah, pasti kaki dan tangannya hinggap ke badan saya. Siapa boleh tahan. Sebab itu saya terpaksa buat keputusan tinggalkan rumah (lari dari rumah) untuk selamatkan diri. 

“Saya tidak peduli apa masyarakat khususnya jiran tetangga nak cakap pasal saya lari dari rumah, apa yang penting saya hendak selamatkan nyawa saya dua beranak. Bila suami dah berani pegang pisau ini bukan benda main main.’’ Kata Shikin ketika hubungi penulis Khamis lepas. 

Kata Shikin, masalahnya telah dibawa ke mahkamah syariah tetapi sudah tiga kali naik mahkamah, masalah masih tak selesai juga. Masih tak dapat cerai. Biasalah suami tetap tak mahu datang ke mahkamah, sebaliknya tuduh dia nusyuz dan suruh taat kepada suami. Tetapi dia tak berani dan tak berhasrat meneruskan perkahwinan ini.  

“Kes yang tergantung ini bukan sahaja membuat saya hampir naik sasau, menghadapi tekanan perasaan, tetapi sentiasa dalam ketakutan. Sebab saya takut suami datang heret dan paksa saya balik rumah. Sebab tuduh saya nusyuz tinggalkan rumah. 

“Saya sudah buat laporan polis dan saya sertakan dengan laporan doktor hospital tentang kecederaan yang dialami. Dan semua itu sudah saya hantarkan ke mahkamah untuk proses tuntut cerai, tetapi semuanya tertangguh. Kini sudah dua tahun masalah saya jadi lebih rumit. 

“Sebenarnya saya selalu mengikuti DCCK, tidak terfikir pula cerita saya terpapar dalam ruangan ini. Sebab saya tidak tahu cara dan tak ada kawan hendak bercerita. Sehinggalah satu hari bertemu kawan yang faham masalah saya dan boleh dipercayai. Jadi kepada dia, saya lahirkan masalah ini. Dari situ saya disuruh bertindak dan bertanya kepada penulis dan Kelab Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) yang saya harap dapat ringankan beban ini. 

“Harapan saya dengan bercerita ini dapat mengurangkan sedikit masalah besar yang terbenam dalam kepala dan hati ini. Dan mungkin ada ahli lain dalam KSIT boleh membantu jika mereka pernah menghadapi masalah yang sama. 

“Terlebih dahulu biarlah saya bercerita dari awal tentang masalah dan perkahwinan saya ini. Saya berkahwin pada usia 26 tahun. Ketika bekerja saya bertemu dengan suami, Kash yang kebetulan dirawat di hospital. Dari rekodnya, dia ada anak dan tentulah ada isteri. Tetapi anak isterinya tak pernah datang melawat. Hairankan? 

“Setelah lama keluar hospital, satu hari dia telefon saya bertanyakan masalah penyakitnya. Dengan sedikit ilmu yang ada, saya terangkan apa yang saya tahu. Sejak itu kami jadi kawan dan baru saya tahu rupanya dia sudah bercerai dan dalam proses menuntut anaknya, Hadanah. 

“Tidak lama kemudian dia masuk melamar . Selepas tiga bulan, baru saya tahu dia seorang yang cemburu. Dia sekat aktiviti saya. Kalau ada jamuan di tempat kerja, saya tak boleh ikut sama, tak boleh berkawan dan dia bawa saya duduk di rumah ibu bapanya. Pergi kerja di hantar, balik di ambil. Mulanya saya rasa dia suami terbaik. Rupanya ada muslihat halus. 

“Saya tak boleh banyak cakap, apa lagi bantah apa sahaja suruhannya. Silap cakap, dia mula nak angkat tangan. Kalau saya banyak tanya, pasti dapat pelempang. Bila saya menangis, dia pujuk janji tak buat lagi. Tetapi itulah yang diulang-ulang dan membuat saya sakit hati. 

“Tak sampai dua tahun saya mengandung. Saya gembira tetapi Kash tak mengaku itu anaknya. Saya terkejut!

“Saya duduk dengan keluarganya, tak boleh keluar, sehinggakan nak balik kampung jumpa keluarga dan emak ayah pun dilarang. Pergi dan balik kerja saya diambil, jadi masa bila saya berzina? Pelik sungguh!

“Saya terkurung, tak ada kawan, kalau bukan anak dia, anak siapa? Akhirnya dia mengaku bila saya kata saya akan buat ujian DNA nak buktikan ini anak dia! 

“Rupanya, dia kata tak mahu pisang berbuah dua kali. Dia kata anaknya dengan bekas isterinya pun bukan anak dia, anak zina. Tetapi anak zina itulah yang dia berlawan dalam mahkamah untuk dapatkan hadanah. Dia berjaya dapatkan hak ke atas anak tersebut. Dan anak itulah saya jaga dan sekolahkan dia. 

“Walaupun sedang hamil, saya tetap kena pelempang bila dia tak puas hati. Saya jawab dia marah bagi pelembang. Bila saya diam dia tuduh saya bisu, pekak, tuli, degil, bingai, bodoh dan macam-macam. Mula kata saya jahat, keras kepala dan tetap kena pelempang. Memang serba salah, jawab kena pelempang tak jawab pun kena terajang. Yang sedihnya ketika hamil pun saya tetap kena tumbuk dan kena pelempang. 

“Lepas bersalin kami pindah menyewa rumah. Lagi besar masalah sebab kena bayar sewa rumah. Lagi dia sakit hati selalu sebab tak berduit. Akhirnya dia suruh saya buat pinjaman bank RM200,000. Saya tak mahu tapi dia paksa. Alasannya nak beli rumah. Bila pinjaman lulus, dia bawa saya ke bank terus keluarkan duit dan masuk dalam bank dia. 

“Saya tanya nak beli rumah kat mana? Dia kata kemudian. Rupanya dia bayar hutang bank lebih RM70,000 sebab nak lepaskan dirinya daripada bankrap. Baki dia bayar ansuran kereta dan beli motor besar. Dan saya tak boleh tanya pasal rumah pasti kena pelempang. 

“Tambah pelik bila saya hendak hantar anak kepada pengasuh, dia tak bagi. Tetapi suruh saya berhenti kerja dan jaga anak sendiri. Alasannya konon tak suka orang lain jaga anak dia. Ya Allah! Kalau saya berhenti kerja siapa bayar pinjaman bank? Katanya dia boleh bayar. 

“Dengan rasa amat kesal dan kecewa teramat, saya terpaksa berhenti kerja. Selepas beberapa bulan, saya terima panggilan dari bank tuntut bayaran. Kerana marah dia ambil telefon saya. Surat bank dan peguam pula datang melayang layang tuntut bayaran. Kami pindah. Akhirnya pada usia 29 tahun saya jadi bankrap. Inilah yang saya dapat setelah hampir empat tahun berkahwin. Menangis pun tak berguna. 

“Tekanan perasaan semakin teruk apabila belanja makan minum tersekat, sewa rumah culas dibayar. Terlebih kecewa kerana saya jadi bankrap. Aduhai nasib….! Saya terbayang masa depan saya amat gelap. Perkahwinan ini bukan membawa kebahagian tetapi lebih banyak bawa kesengsaraan dalam hidup. 

“Dalam pada itu, hidup Kash juga tak menentu. Mungkin kerana tekanan perasaan, dia lepaskan kemarahannya kepada saya. Apa yang saya buat di rumah serba tak kena. Kebetulan ketika itu anak pulak menangis dalam buaian, dia terus menjerit marah. Lantas terus ke dapur ambil pisau dan mengacukan kepada anak yang menangis. Saya menjerit ketakutan dan saya bimbang keselamatan kami dua beranak. 

“Saya bukan saja takutkan Kash tetapi semakin benci bila memikirkan hutang bank dan jadi bankrap. Bila ditanya bila nak bayar hutang bank, dia buat bodoh dan mengamuk. Dulu saya bekerja dipaksa berhenti sekarang saya nak bayar hutang bank. 

“Nak dijadikan cerita, satu hari dia jatuh sakit. Memang tak diduga begini nasib saya. Sudahlah susah, tak berduit, suami pula sakit. Ke mana saya nak mengadu nasib. Saya jumpa emak bapanya meminta bantuan tetapi mereka tolak, malah tak sanggup jaga anaknya yang sakit itu. 

“Rupa-rupanya dalam diam Kash buat permohonan berhenti kerja dan permohonannya lulus selepas dia jatuh sakit, jadi dia dapat duit PERKESO. Dengan duit itulah saya buat belanja makan minum kami, untuk rawatan perubatannya berulang ke hospital, bayar sewa rumah dan bayar hutang-hutangnya yang belum selesai. 

“Bila dia sihat beberapa bulan kemudian, dia tuntut saya kembalikan duit yang telah saya gunakan semasa dia sakit. Dia mahu jumlah duit yang sama dia dapat dari PERKESO. Bodoh betul. Tentulah saya gunakan untuk perubatannya, makan minum dan sebagainya. Untungnya setiap bayaran saya kumpul resit sebagai bukti saya tak joli duit dia. Tapi dia tak puas hati, masih tuntut saya pulangkan duitnya. 

“Nak dijadikan cerita ketika dia sakit, saya dapat banyak bukti penipuannya. Dia ada banyak hutang. Lebih menyakitkan hati terbongkar rahsia dia ada kekasih dan mereka rancang hendak berkahwin. Bila tanya dia nafikan tetapi dia tak boleh nafikan gambar gambar simpanannya sebagai bukti. Ketika itu hanya Allah maha tahu betapa sakitnya hati ini. 

“Apabila saya merasa diri ini sudah tidak berguna lagi, saya buat keputusan tuntut cerai. Dia nafikan ada kekasih dan enggan ceraikan saya. Akhirnya saya buat keputusan balik kampung,  tidak ada gunanya duduk dengan dia lagi. Dia cukup marah sehingga menuduh saya nusyuz. 

“Satu hari saya pergi ke rumah nak ambil barang saya tetapi rumah dikunci dengan tujuh mangga. Dengan pertolongan jiran, saya pecahkan pintu dan ambil semua perabot milik saya termasuk TV, perabut, mesin cuci pakaian, peti sejuk, pendek kata semua benda yang saya beli. Rumah saya tinggalkan kosong kecuali barangan peribadi dia. 

“Dalam telefon dia menjerit-jerit beritahu dia tidak akan ceraikan saya. Dia akan gantung saya tak bertali. Sebab itu dia tak mahu pergi mahkamah walaupun sudah tiga kali dipanggil datang. 

“Masalah duduk kampung memang susah, mak bapa bukan orang senang. Saya rasa menambah beban kepada mereka tetapi mana lagi saya nak pergi. Kerja tak ada, duit memang kosong. Masalah besar saya sekarang susah nak dapat kerja kerana dah jadi muflis! Bankrap! 

“Sungguh saya tak sangka, penat lelah emak ayah sekolahkan saya bagi membolehkan saya dapat kerja dan boleh bantu mereka dan adik-adik tetapi saya kahwin walaupun baru dua tahun bekerja. Malangnya kahwin dengan duda yang berniat jahat, pembelit, penipu, malah memerah dan menyusahkan saya sehingga jadi bankrap.’’ Demikian cerita  Shikin tentang hidupnya yang terseksa sedangkan usianya belum pun sampai 34 tahun. 

Nasihatnya kepada gadis lain janganlah jadi sepertinya. Fikir 10 kali kalau suami suruh pinjam bank. Sebab hari ini dia janji akan bayar tetapi kita tidak tahu apa yang tertulis di kepala dan tertanam dalam hatinya. Oleh kerana itu jaga diri sendiri supaya tidak terseksa seperti dia. 

Sekiranya anda ingin menghubungi penulis telefon 0192393419 atau email [email protected] / [email protected]