kisah ashabul uhdud
Sekadar gambar hiasan

Daripada  Shuhaib katanya Rasulullah s.a.w. bercerita “Pada zaman dahulu ada seorang raja mempunyai seorang tukang sihir. Ketika usia tukang sihir itu bertambah lanjut, dia berkata kepada raja,

“Aku sudah tua. Kerana itu kirimlah kepadaku seorang pemuda supaya ku ajari dia ilmu sihir.”

Maka dikirimlah kepadanya oleh raja seorang pemuda untuk belajar ilmu sihir. Di jalan yang dilalui pemuda itu setiap hari untuk belajar ilmu sihir tinggal seorang pendeta. Pemuda itu selalu singgah ke tempat pendeta itu untuk mendengar ajaran-ajaran yang disampaikan. Ternyata ajaran pendeta itu sangat dikagumi si pemuda.

Apabila dia sampai lambat ke tempat tukang sihir, lalu dia dipukul si tukang sihir. Hal itu diadukannya kepada pendeta.

“Jika engkau takut dimarahi tukang sihir, katakan kepadanya bahawa engkau terlambat kerana halangan keluarga. Dan jika engkau takut dimarahi keluargamu katakan bahawa engkau terlambat pulang kerana tukang sihir,” kata pendeta itu.

Keadaan berjalan seperti yang dirancang, pada suatu hari muncul seekor binatang besar menghambat orang ramai yang lalu lintas di jalanan. Kata si pemuda,

“Hari ini aku harus tahu, mana yang lebih  ampuh ilmu tukang sihir dengan ilmu pendeta?” Maka diambilnya batu lalu dia berdoa, “Wahai Allah, jika ilmu pendeta lebih Engkau sukai daripada ilmu tukang sihir maka bunuhlah binatang itu supaya orang ramai dapat melalui jalan itu dengan selamat.”

Lalu dilempar binatang itu dan mati serta-merta sehingga orang ramai boleh melalui jalan dengan selamat.  

Si pemuda datang kepada pendeta lalu menceritakan peristiwa yang baru dialaminya. Kata pendeta,

“Hai anakku! Mulai hari ini ternyata engkau lebih unggul daripadaku. Engkau telah mencapai sasaran yang ku duga. Tetapi engkau akan mendapat ujian. Jika engkau diuji janganlah engkau mengatakan bahawa aku gurumu.”

Si pemuda juga sudah pandai mengubati orang bisu, penyakit kusta dan pelbagai penyakit lain.

Hal itu sampai ke telinga menteri raja yang buta matanya. Maka didatanginya pemuda itu dengan pelbagai hadiah. Katanya,

“Jika engkau dapat menyembuhkan daripada kebutaan maka hadiah-hadiah ini ku berikan kepadamu.”

Jawab pemuda, “Aku tidak dapat menyembuhkan seseorang, yang menyembuhkan sesungguhnya hanya Allah. Jika anda mahu beriman kepada Allah aku akan berdoa semoga Dia berkenan menyembuhkan anda.”

Kisah ini ada disebut dalam al-Quran surah al-Buruj: 4

Maka berimanlah sang menteri kepada Allah, lalu Allah menyembuhkannya.

Kemudian menteri raja menghadiri majlis raja sebagaimana biasa. Raja bertanya,

“Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?” Jawab menteri,

“Tuhanku!”

Titah Raja, “Engkau punya Tuhan selain aku?” Menteri menjawab,

“Tuhanku dan Tuhan anda ialah Allah.”  Maka diseksanya menteri itu sehingga dia terpaksa menunjukkan pemuda yang mengubatinya.

Pemuda itu dipanggil untuk menghadap raja. Titah raja,

“Wahai anakku! Sungguh hebat ilmu sihirmu. Engkau dapat menyembuhkan orang buta, pesakit kusta dan engkau telah berjasa begini dan begitu.”

Jawab  pemuda itu,

“Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa pun. Sesungguhnya yang menyembuhkan hanya Allah semata-mata.”

Maka diseksa pemuda itu sehingga dia terpaksa menunjukkan pendeta yang mengajarnya. Maka pendeta itu pun dihadapkan kepada raja.

Titah raja, “Keluarlah daripada agamamu.” 

Pendeta itu menolak. Raja memerintahkan supaya mengambil gergaji dan diletakan di tengah-tengah kepala pendeta itu. Lalu dibelah kepalanya sehingga kedua belahannya jatuh.

Kemudian dihadapkan pula menteri raja. Maka diperintahkan kepadanya,

“Keluarlah kamu daripada agamamu.”

Menteri raja menolak. Maka diletakkan gergaji di tengah-tengah kepalanya lalu dibelah sehingga kepalanya jatuh. Kemudian dihadapkan si pemuda. Maka diperintahkan pula kepadanya,

“Keluarlah kamu daripada agamamu.”

Tetapi si pemuda menolak. Lalu diserahkan kepada para pengawal raja.

Titah raja, “Bawa dia ke puncak gunung. Sampai di sana, jika dia mahu keluar daripada agamanya jangan diapa-apakan. Tetapi jika dia menolak, lemparkan ke jurang yang dalam.”

Maka berangkatlah mereka membawa si pemuda ke puncak gunung. Sementara itu si pemuda berdoa,

“Wahai Allah! selamatkanlah aku daripada kejahatan mereka dengan cara apa saja yang Engkau kehendaki.”

Maka bergoncanglah gunung sehingga para pengawal raja jatuh ke gaung.

Dan, si pemuda pulang kembali ke istana raja dengan berjalan kaki. Raja bertanya,

“Mana para pengawal, apa yang terjadi dengan mereka?” Jawab pemuda,  “Allah menyelamatkanku daripada kejahatan mereka.”

Maka diserahkannya si pemuda kepada para pengawal yang lain dengan titahnya,

“Bawa dia dengan perahu ke tengah lautan. Jika dia mahu keluar daripada agamanya  biarkan dia. Tapi jika dia menolak, lemparkan dia ke  laut.”

Maka berangkatlah mereka membawa si pemuda. Si pemuda berdoa,

“Wahai Allah! selamatkan aku daripada kejahatan mereka dengan cara bagaimanapun Engkau kehendaki.

Maka terbaliklah perahu mereka sehingga pengawal tenggelam semuanya.

Si pemuda kembali ke istana raja dengan berjalan kaki. Tanya Raja,

“Ke mana para pengawal? Apa yang telah terjadi?” 

Jawab pemuda, “Allah melindungiku daripada kejahatan mereka.”

Pemuda itu menambah, “Anda tidak akan dapat membunuhku sebelum anda lakukan perintahku.”

Tanya raja, “Apa itu?”

Jawab pemuda, “Kumpulkan seluruh rakyat di kawasan lapang. Lalu salib aku pada sebatang pokok. Kemudian ambil anak panah daripada tempat panahku dan letakkan di busarnya dengan membaca; Bismillahi rabbil ghulam (dengan nama Allah, Tuhan pemuda ini). Sesudah itu panahlah aku. Bila anda lakukan seperti itu maka anda akan berhasil membunuhku.”

Maka dikumpulkanlah seluruh rakyat di kawasan lapang. Lalu disalibnya si pemuda pada sebatang pokok. Kemudian diambilnya panah lalu dipasangkan pada busar dengan membaca;

“Bismillahi rabbil ghulam.”

Maka dipanahlah si pemuda, kena pelipisnya. Si pemuda meletakkan tangan pada tempat yang kena panah lalu dia tewas. Maka berkata orang banyak,

“Kami  beriman dengan Tuhan si pemuda! Kami beriman dengan Tuhan si pemuda! Kami beriman dengan Tuhan si pemuda!”

Pernyataan rakyat dikhabarkan orang kepada raja. Kata mereka,

“Tahukah anda bahawa apa yang anda takutkan selama ini sungguh terjadi. Rakyat telah menyatakan iman kepada Allah.”

Maka diperintahkan oleh raja supaya membuat parit di pintu-pintu jalan utama. Lalu dibuat orang parit yang di dalamnya dinyalakan api. Titah raja,

“Siapa tidak keluar daripada agamanya, lemparkan dan bakar mereka dalam parit.”

Maka dilaksanakanlah perintah raja. Sampai giliran seorang wanita yang sedang menggendong bayi, wanita itu teragak-agak untuk terjun ke dalam parit. Maka berkata bayinya, “Wahai ibu! Tabahkanlah hati ibu kerana ibu berada dalam kebenaran.” (HR Muslim)

______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare