Unit penguatkuasaan CIDB Sandakan melakukan siasatan di lokasi kejadian di sebuah pusat beli-belah di bandar itu./Gambar FB CIDB Sandakan

BUNYI kuat jubin retak di sebuah lot kedai di Harbour Mall Sandakan menyebabkan orang ramai berlari keluar kerana menyangkakan bangunan tersebut akan runtuh.

Susulan video kejadian itu yang tular, pihak pengurusan bangunan pusat beli-belah itu menerusi kenyataan menyangkal dakwaan bahawa bangunan itu runtuh, namun mengakui terdapat bunyi kuat daripada tingkat empat premis itu.

“Ya, terdapat bunyi kuat daripada tingkat empat. Ia berpunca daripada satu bahagian kecil jubin lantai yang retak pagi ini.

“Kami memberi jaminan bahawa bangunan pusat beli-belah kami adalah dalam keadaan kukuh dan tiada isu struktur seperti yang didakwa oleh pihak tidak bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu yang dilapor Bernama.

Pihak pengurusan Harbour Mall meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak mempercayai serta menyebar berita palsu tanpa mengesahkan kebenarannya.

Sementara itu, unit penguatkuasaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sandakan telah membuat pemeriksaan ke atas bangunan tersebut dan hanya menemui beberapa jubin retak dalam sebuah lot kedai.

CIDB Sandakan dalam satu hantaran di media sosial memaklumkan pihaknya telah menemui pihak pengurusan.

“Pihak pengurusan , pihak keselamatan dan pemilik premis telah ditemui untuk siasatan lebih lanjut.

“Siasatan awal mendapati hanya berlakunya “jubin pecah” di salah sebuah lot kedai sahaja dan bukannya struktur bangunan berkenaan.

“Pihak CIDB menyeru agar tidak menyebarkan maklumat palsu sehingga menimbulkan rasa panik kepada pengunjung,” kata kenyataan itu