Ketua Penerangan PAS, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin berucap ketika hadir ke Ceramah Umum Perikatan Nasional bersama pengundi di Bilik Gerakan Parit Sulong, Mac lalu. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEMALAM Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini seorang lagi pemimpin parti dalam komponen Perikatan Nasional (PN) itu tampil membidas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan isu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Walaupun tidak menyebut kes mahkamah seperti mana Sanusi, Ketua Penerangan Pas, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin tetap mengaitkan desakan Ahmad Zahid untuk PRU-15 diadakan segera kerana kepentingan diri dan juga menyelamatkan diri.

Untuk itu, Khairil Nizam menyeru kepada semua Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk menasihati Presiden mereka yang seringkali memberikan tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk segerakan PRU-15.

“Sebagai ketua parti besar orang Melayu yang berpengalaman, Presiden UMNO haruslah berjiwa besar bersama-sama kerajaan pada hari ini untuk teruskan agenda kesejahteraan rakyat dan bukan meletakkan kepentingan diri sendiri sebagai keutamaan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini menempelak kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bahawa kononnya pihak yang mahu menyegerakan PRU-15 sebagai gila kuasa.

Sebaliknya dakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Pas khuatir kehilangan kerusi yang sedia ada dalam PRU-15.

Baca: Segerakan PRU bukan kerana kepentingan Zahid – Shahril Hamdan

Hadi tak mahu PRU-15 cepat takut hilang kerusi – Ahmad Zahid

Tolak PRU-15 dipercepat, Pas bukan gila kuasa

Susulan itu, Sanusi tampil membidas Ahmad Zahid sambil mendakwa Presiden UMNO itu mahu mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal kerana takut dipenjarakan.

Sementara itu, jelas Khairi Nizam, Pas menyeru kepada Presiden UMNO untuk berhenti seketika daripada “berpolitiking” kerana takut dengan bayang-bayang sendiri dan kehilangan jawatan.

Katanya, Ahmad Zahid seharusnya memberikan fokus menggerakkan jentera UMNO untuk bersama dengan Perdana Menteri dan kerajaan hari ini dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat terutamanya aspek ekonomi yang menekan.

“Masalah utama yang dihadapi oleh negara pada hari ini bukanlah isu parti mana atau siapa yang perlu dominan dalam kerajaan tetapi masalah utama kini ialah krisis ekonomi.

“Peningkatan inflasi semakin menghimpit rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” jelasnya.

Menurut Khairil Nizam, tujuan Pas menyokong kerajaan pada hari ini adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara dan negara ini dapat ditadbir dengan lebih baik berbanding kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya tidak mengheret rakyat dalam konflik perebutan kuasa dalam parti.

“Sepertimana Presiden UMNO mahu menangguhkan pemilihan parti demi perpaduan dan kestabilan UMNO, begitulah juga hasrat kerajaan pada hari ini untuk meletakkan kestabilan negara sebagai keutamaan tertinggi.

“Jangan dihancurkan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dan parti-parti lain dalam kerajaan hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.

“Berikan sokongan tidak bersyarat kepada Perdana Menteri untuk beliau dan Kabinet beliau pulihkan negara ini dan membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.