ISTERI kepada penyanyi rap terkenal Caprice, Farra Inalis lebih gembar mengambil pendekatan untuk tidak melayan komen-komen negatif daripada netizen.

Menerusi perkongsian di laman Instagram, Farra menjawab persoalan yang diajukan oleh seorang netizen berkenaan cara dia menangani situasi tersebut.

Farra, 27 yang juga ibu kepada seorang anak itu memberitahu bahawa setiap tomahan dan cacian yang dilontarkan oleh netizen kepadanya akan memberi keuntungan buat dirinya.

“Nak puaskan hati manusia? sampai kiamat pun memang tidak mampu. Kenapa saya nak melenting kalau orang caci maki atau nak komen bukan-bukan.

“Sedangkan mereka sedang memberi faedah kepada saya tanpa mereka sedar.

“Tular, buatkan saya lagi tambah pengikut dan lonjakkan jualan. Untung pemasaran percuma. Bukan saya minta, mereka sendiri pergi suka rela nak tolong,” katanya dalam ruangan kapsyen.

Selain itu, Farra turut menegaskan bahawa urusan peribadinya berkaitan dosa dan pahala adalah antara dirinya dengan tuhan termasuklah juga hal-hal yang melibatkan suaminya.

“Sanggup komen macam-macam untuk puaskan hati sendiri walaupun tidak pernah kenal saya, inilah dinamakan manusia yang ada penyakit hati.

“Walupun saya ‘free hair’… tidak bermakna saya jahat. Berdosa urusan saya dengan Allah, saya boleh minta maaf dan bertaubat bila tiba masanya.

“Saya dengan suami itu urusan antara kami, tidak perlu nak tolong ingatkan saya ‘kesian suami tanggung dosa’. Hello, suami saya tahu dia kahwin dengan siapa,” tulisnya lagi.

Usahawan itu turut meninggalkan pesanan agar tidak cepat menghukum kerana setiap perkara yang berlaku adalah kehendak diri sendiri.

“Korang sesama manusia tidak berhak nak menghukum, pilihan masing-masing.

“Bagi saya, semua komen negatif saya anggap mungkin, mak cik atau pak cik bawang yang perlukan perhatian atau nak tumpang glamour di komen, biarkan lah.

“Kesian hidup sunyi sangat, tiada benda menarik kan? Mungkin dengan fitnah atau hina orang boleh buat dia rasa bahagia,” ujarnya.

Untuk rekod, Farra dan Caprice mendirikan rumah tangga pada November 2021.