ستله سلساي ممباڠونکن کعبة, مک الله سبحانه وتعالى ممرينتهکن کڤد نبي ابراهيم عليه السلام دڠن ڤوتراڽ نبي اسماعيل عليه السلام اݢر عباده حاج دلاکوکن دڠن سݢرا. سبلومڽ باڽق ڤريستيوا يڠ برلاکو ڤد سجاره ڤمباڠونن کوتا مکه اين ياءيت:

ڤرتام: مڠهنتر سيتي هاجر, دان نبي اسماعيل عليه السلام برڠکت دري هيبرون برݢرق کأره تڠݢارا مڽوسوري لالوان کافيله يڠ دکنل سباݢاي لالوان واڠين (incense route) سجاءوه 1200 کيلوميتر دان تيبا دلمبه تندوس ڤرݢونوڠن سيرات يڠ ڤونچق-ڤونچقڽ مليڤوتي جبل اجياد, جبل قبايس, جبل قعيقن, جبل هراء دان جبل طور.

ڤريستيوا يڠ برلاکو ايت باڽق منيڠݢلکن کسن دالم سجاره حاج. لمبه ايت برنام بکة (مکة). سيتي هاجر دان نبي اسمعيل عليه السلام دباوا کمکة اتس سبب ترتنتو دان اتس ڤرينته الله, سيتي هاجر دان ڤوتراڽ دتيڠݢل دباوه سڤوهون ڤوکوق اوليه نبي ابراهيم عليه السلام يڠ کمبالي کڤلسطين منموءي سيتي ساره (ايستري ڤرتاماڽ). نبي ابراهيم عليه السلام بردعا دان مڽبوت نام الله اݢر سيتي هاجر دان نبي اسماعيل عليه السلام براد دباوه ڤرليندوڠن دان کسلامتن الله.

قيصه ايت برلنجوتن دان ڤد ساتو کتيک, ساعت اءير سوسو کهابيسن دان بکلن اءير منجادي کونتڠ, سيتي هاجر مناءيقي بوکيت صفا منچاري اءير اونتوق ڤوتراڽ اتاو جک اد کافيله يڠ داڤت ممبنتو. کتيک ايت تيدق اد سياڤا ڤون يڠ ملالوءي جالن برکناءن دان سيتي هاجر برجالن منوروني بوکيت, لمبه, دان منداکي کبوکيت مرواه.

مليهت ڤد سکليليڠ نامون تق اد اڤ يڠ دليهتڽ. توجوه کالي ڤرݢي دان باليق, هيڠݢ اخيرڽ الله ممنچرکن اءير زم زم دتمڤت نبي اسماعيل عليه السلام دتيڠݢلکن. دري ڤريستيوا يڠ برلاکو ايتوله کيني دأڠکت سباݢاي ساله ساتو روکون حاج ياءيت ملاکوکن ساعي.

کدوا: ڤرينته مڽمبليه نبي اسماعيل عليه السلام

ساعت نبي اسماعيل براوسيا 11-12 تاهون, نبي ابراهيم عليه السلام منموءي کلوارݢاڽ دمکه يڠ ڤد وقتو ايت تله براوبه بربنديڠ دساعت ڤرتام کالي براد دکاوسن برکناءن. بارو سهاج نبي ابراهيم عليه السلام ملڤسکن ريندو, الله تله ممرينتهکن ملالوءي ميمڤي اݢر مڽمبليه نبي اسماعيل عليه السلام.

مسکيڤون مڠالمي کڤايهن, نامون اخيرڽ برکة کطاعتن نبي ابراهيم عليه السلام دان کصبرن نبي اسماعيل عليه السلام “يا ابتي عف الماتماروق” – وهاي ايهکو کرجاکنله اڤ يڠ دڤرينتهکن کڤدامو, مک ڤرينته ايت داڤت دلقساناکن. الله, ڤون مڠݢنتيکنڽ دڠن سمبليهن قيبش (ساله ساتو جنيس کمبيڠ).

سوءال اوجين ڤڠوربانن دالم بنتوق اڤاڤون, الله سبنرڽ تيدق برمقصود مڠانيأي همبا-همباڽ, ملاءينکن سقدر اوجين اونتوق منيڠکتکن موتو کأيمنن دان عمل صالح. دالم عباده حاج, ڤڽمبليهن بيناتڠ اين دلقساناکن ستله ملونتر جمره العقبه اتاو ڤد هاري-هاري تشريق.

کتيݢ: مڠݢنتي ڤالڠ ڤينتو رومه

ڤريستيوا کتݢ اياله, ستله نبي اسماعيل عليه السلام برومهتڠݢ دڠن ممڤرايستريکن وانيتا دري سوکو جورهوم. سلڤس سيتي هاجر منيڠݢل دنيا, نبي ابراهيم عليه السلام داتڠ برتندڠ کرومه نبي اسماعيل عليه السلام. نامون تيدق برتمو دڠن ڤوتراڽ کران سدڠ بربورو دالم تيمڤوه يڠ لاما. ڤد ساعت ايت, هاڽ مننتوڽ سهاج يڠ اد.

نبي ابراهيم عليه السلام تله مرهسياکن ايدينتيتيڽ دان کتيک دتاڽ تنتڠ کأداءن رومهتڠݢاڽ, ايستري نبي اسماعيل عليه السلام تله مڠلوه تنتڠ کسوليتن دان کميسکينن هيدوڤ مريک, سرتا تيدق اد کبهاݢياءن. اڤ يڠ مناريقڽ درڤد ڤرتموان ايت, نبي ابراهيم عليه السلام تيدق برچاکڤ سچارا تروس کڤد مننتوڽ سبتليقڽ مڠݢوناکن بهاس کياسن. کات نبي ابراهيم عليه السلام کڤد مننتوڽ ايت,

“جک اسماعيل ڤولڠ سمڤايکن سلام دان دسارنکن اݢر مڠݢنتي ڤالڠ ڤينتو رومهڽ”

کتيک نبي اسماعيل عليه السلام کمبالي کرومه, لالو مندڠر چريتا ايستريڽ تنتڠ کداتڠن تتامو سرتا ڤسننڽ, مک نبي اسماعيل عليه السلام مڠرتي دان مڠمبيل کڤوتوسن منچرايکن ايستريڽ يڠ دنيلاي دڠن سيکڤ يڠ مڠلوه دان تيدق صبر سرتا تيدق برشکور اتس نعمة يڠ الله بريکن.

دالم حال اين, جماعه حاج هندقله سنتياس منشکوري نعمت يڠ دتريما, برصبر دالم اڤ جوݢ دوݢاءن منداتڠ دان جاڠن موده مڠلوه اڤبيلا منريما اوجين درڤد الله,

کأمڤت: ممڤرتاهنکن ڤالڠ ڤينتو رومه

ستاهون سلڤس کداتڠن کتيݢ, نبي ابراهيم عليه السلام داتڠ لاݢي کمکة اونتوق منموءي ڤوتراڽ. ڤد کالي اين, ابراهيم عليه السلام سکالي لاݢي تيدق داڤت برتمو ڤوترا کسايڠنڽ ايت. هاڽ ايستري نبي ابراهيم عليه السلام يڠ دتموءيڽ.

ايستري نبي اسماعيل عليه السلام اداله ڤوتري کڤد سوکو قوم جورهوم يڠ برنام السيده مادد امر. سباݢايمان يڠ لالو, نبي ابراهيم عليه السلام يڠ مڽمبوڽيکن ايدينتيتي ديريڽ, برتاڽاکن کأداءن رومهتڠݢ مريک. وانيتا ايت منجواب دڠن چارا يڠ باءيق, لالو نبي ابراهيم عليه السلام بردعا,

“يا الله برکتي داݢيڠ دان اءير مريک” (رواية البخاري). نابي ابراهيم عليه السلام برڤسن اڤبيلا سواميڽ ڤولڠ, “کاتاکنله ڤالڠ ڤينتوڽ تيدق ڤرلو دݢنتي”

والاوڤون ڤريستيوا کتيݢ دان کأمڤت تيدق نمڤق سيݢنيفيکن دڠن عباده حاج, نامون ڤرلو دجلسکن بهاوا ڤرهوبوڠن دالم رومهتڠݢ جوݢ اداله فکتور يڠ ممبنتو دالم اوروسن حاج اين. مک کڤد جماعه حاج, ڤرلوله دککلکن دعا اݢر کمبالڽ کتانه اءير دري ملقساناکن عباده حاج اين, هندقله کيت سنتياس منداڤت ڤرليندوڠن درڤد الله ياءيت “سوءي المنقالبي في المالي والأهلي” (ياءيت مڠهيندرکن ديري دالم حال يڠ مروسقکن کهيدوڤن کلوارݢ),

کليم: ممباڠوم کعبه

تانه يڠ اݢق تيڠݢي بردکتن ڤريݢي زم زم اداله لوکاسي ڤيليهن “اين اداله تمڤت يڠ دڤيليه الله,” کات نبي ابراهيم عليه السلام کڤد نبي اسماعيل عليه السلام (رواية البخاري), لالو کدوا-دواڽ مولا ممباڠونکن کعبه دسيتو, ترداڤت دوا باتو يڠ ايستيميوا دالم ڤمبيناءن کعبه برکناءن يڠ دسبوت, حجرالأسواد دان مقم ابراهيم.

سوقتو عباده حاج برلڠسوڠ, حجرالأسواد اکن منجادي تمڤت ڤرمولاءن دان ڤڠأخيرن طوف, دمان کمودينڽ جماعه حاج اکن مڠرجاکن صلاة دوا رکعة دبلاکڠ مقم ابراهيم.

الله برفرمان يڠ برمقصود, “دان سوچيکنله رومه کو اين باݢي اورڠ-اورڠ يڠ طوف,

 اورڠ-اورڠ يڠ برعباده, دان اورڠ-اورڠ يڠ رکع يعني سجود.” (سورة الحاج 26).

دالم فرمان يڠ لاءين, الله ممينتا نبي ابراهيم عليه السلام اونتوق مڠعمومکن کواجيڤن عباده حاج, برزياره کبيت الله دڠن تاتاچارا (مناسيق) يڠ دأجرکن الله کڤد نبي ابراهيم عليه السلام.

“…تونجوقکنله کڤد کامي چارا-چارا دان تمڤت-تمڤت عباده حاج کامي…” (سورة البقرة: 128) دان الله برفرمان دالم سورة الحاج: 27, “سروله کڤد ماءنسي اونتوق مڠرجاکن حاج, نسچاي مريک اکن داتڠ دڠن برجالن کاکي, مڠندراءي اونتا کوروس, داتڠ دري سݢنڤ ڤنجورو يڠ جاءوه”

Sejarah Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. di Mekah

Setelah selesai membangunkan Kaabah, maka Allah S.W.T. memerintahkan kepada Nabi Ibrahim a.s. dengan puteranya Nabi Ismail a.s. agar ibadah haji dilakukan dengan segera. Sebelumnya banyak peristiwa yang berlaku pada sejarah pembangunan kota Mekah ini iaitu:

Pertama: Menghantar Siti Hajar dan Ismail a.s.

Nabi Ibrahim a.s., Siti Hajar, dan Nabi Ismail a.s. berangkat dari Hebron bergerak ke arah tenggara menyusuri laluan kafilah yang dikenal sebagai laluan wangian (incense route) sejauh 1200 kilometer dan tiba di lembah tandus pergunungan Sirat yang puncak-puncaknya meliputi Jabal Ajyad, Jabal Qubais, Jabal Qu’aiq’an, Jabal Hira dan Jabal Thur.

Peristiwa yang berlaku itu banyak meninggalkan kesan dalam sejarah haji. Lembah itu bernama Bakkah(Mekah). Siti Hajar dan Nabi Ismail a.s. dibawa ke Mekah atas sebab tertentu dan atas perintah Allah, Siti Hajar dan puteranya ditinggal di bawah sepohon pokok oleh Nabi Ibrahim a.s. yang kembali ke Palestina menemui Siti Sarah (isteri pertamanya). Nabi Ibrahim a.s. berdoa dan menyebut nama Allah agar Siti Hajar dan Nabi Ismail a.s. berada di bawah perlindungan dan keselamatan Allah.

Kisah itu berlanjutan dan pada satu ketika, saat air susu kehabisan dan bekalan air menjadi kontang, Siti Hajar menaiki bukit Safa mencari air untuk puteranya atau jika ada kafilah yang dapat membantu. Ketika itu tidak ada siapa pun yang melalui jalan berkenaan dan Siti Hajar berjalan menuruni bukit, lembah, dan mendaki ke bukit Marwah.

Melihat pada sekeliling namun tak ada apa yang dilihatnya. Tujuh kali pergi dan balik, hingga akhirnya Allah memancarkan air zamzam di tempat Nabi Ismail a.s. ditinggalkan. Dari peristiwa yang berlaku itulah kini diangkat sebagai salah satu rukun haji iaitu melakukan Sa’i.

Kedua: Perintah menyembelih Nabi Ismail a.s.

Saat Nabi Ismail berusia 11-12 tahun, Nabi Ibrahim a.s. menemui keluarganya di Mekah yang pada waktu itu telah berubah berbanding di saat pertama kali berada di kawasan berkenaan. Baru sahaja Nabi Ibrahim a.s., melepaskan rindu, Allah telah memerintahkan melalui mimpi agar menyembelih Nabi Ismail a.s.

Meskipun mengalami kepayahan, namun akhirnya berkat ketaatan Nabi Ibrahim a.s. dan kesabaran Nabi Ismail a.s., yaa abati af’al maa tu’maru – wahai ayahku kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, maka perintah itu dapat dilaksanakan. Allah, pun menggantikannya dengan sembelihan kibasyh (salah satu jenis kambing).

Soal ujian pengorbanan dalam bentuk apapun, Allah sebenarnya tidak bermaksud menganiaya hamba-hamba Nya, melainkan sekadar ujian untuk meningkatkan mutu keimanan dan amal soleh. Dalam ibadah haji, penyembelihan binatang ini dilaksanakan setelah melontar Jamrah al Aqabah atau pada hari-hari tasyrik.

Ketiga: Mengganti palang pintu rumah

Peristiwa ketiga ialah, setelah Nabi Ismail a.s. berumah tangga dengan memperisterikan wanita dari suku Jurhum. Selepas Siti Hajar meninggal dunia, Nabi Ibrahim a.s. datang bertandang ke rumah Nabi Ismail a.s.  Namun tidak bertemu dengan puteranya kerana sedang berburu dalam tempoh yang lama. Pada saat itu, hanya menantunya sahaja yang ada.

Nabi Ibrahim a.s. telah merahsiakan identitinya dan ketika ditanya tentang keadaan rumahtangganya, isteri Nabi Ismail a.s. telah mengeluh tentang kesulitan dan kemiskinan hidup mereka, serta tidak ada kebahagian.  Apa yang menariknya daripada pertemuan itu, Nabi Ibrahim a.s. tidak bercakap secara terus kepada menantunya sebaliknya menggunakan bahasa kiasan. Kata Nabi Ibrahim a.s. kepada menantunya itu,

“Jika Ismail pulang sampaikan salam dan disarankan agar `mengganti palang pintu rumahnya’”

Ketika Nabi Ismail a.s. kembali ke rumah, lalu mendengar cerita isterinya tentang kedatangan tetamu serta pesanannya, maka Nabi Ismail a.s. mengerti dan mengambil keputusan menceraikan isterinya yang dinilai dengan sikap yang mengeluh dan tidak sabar serta tidak bersyukur atas nikmat yang Allah berikan.

Dalam hal ini, jemaah haji hendaklah sentiasa mensyukuri nikmat yang diterima, bersabar dalam apa juga dugaan mendatang dan jangan mudah mengeluh apabila menerima ujian daripada Allah.

Keempat: Mempertahankan palang pintu rumah

Setahun selepas kedatangan ketiga, Nabi Ibrahim a.s. datang lagi ke Mekah untuk menemui puteranya. Pada kali ini, Ibrahim a.s. sekali lagi tidak dapat bertemu putera kesayangannya itu. Hanya isteri Nabi Ibrahim a.s. yang ditemuinya. 

Isteri Nabi Ismail a.s. adalah puteri kepada ketua suku Jurhum yang bernama As Sayyidah Madad Amr. Sebagaimana yang lalu, Nabi Ibrahim a.s. yang menyembunyikan identiti dirinya, bertanyakan keadaan rumah tangga mereka. Wanita itu menjawab dengan cara yang baik, lalu Nabi Ibrahim a.s. berdoa

Ya Allah berkati daging dan air mereka.” (Riwayat al Bukhari). Nabi Ibrahim a.s. berpesan apabila suaminya pulang, “Katakan palang pintunya tidak perlu diganti”

Walaupun peristiwa ketiga dan keempat tidak nampak signifikan dengan ibadah haji, namun perlu dijelaskan bahawa perhubungan dalam rumah tangga juga adalah faktor yang membantu dalam urusan haji ini. Maka kepada jemaah haji, perlulah dikekalkan doa agar kembalinya ke tanah air dari melaksanakan ibadah haji ini, hendaklah kita sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah iaitu “suu il munqolabi fiil maali wal ahli” (iaitu menghindarkan diri dalam hal yang merosakkan kehidupan keluarga).

Kelima: Membangun Kaabah

Tanah yang agak tinggi berdekatan perigi zamzam adalah lokasi pilihan “Ini adalah tempat yang dipilih Allah,”kata Nabi Ibrahim a.s. kepada Nabi Ismail a.s. (Riwayat al Bukhari), lalu kedua-duanya mula membangunkan Kaabah di situ. Terdapat dua batu yang istimewa dalam pembinaan Kaabah berkenaan yang disebut, Hajar al Aswad dan Maqam Ibrahim.

Sewaktu ibadah haji berlangsung, Hajar Aswad akan menjadi tempat permulaan dan pengakhiran tawaf, di mana kemudiannya jemaah haji akan mengerjakan solat dua rakaat di belakang Maqam Ibrahim.

Allah berfirman, Dan sucikanlah rumah Ku ini bagi orang-orang yang tawaf, orang-orang yang beribadah, dan orang-orang yang rukuk yakni sujud.” (Surah Al Hajj 26).

Dalam firman yang lain, Allah meminta Nabi Ibrahim a.s. untuk mengumumkan kewajiban ibadah haji, berziarah ke Baitullah dengan tata cara (manasik) yang diajarkan Allah kepada Nabi Ibrahim a.s,

“…tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami…. (Surah Al-Baqarah: 128)

Dan Allah berfirman dalam surah al-Hajj: 27, Serulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang dengan berjalan kaki, mengenderai unta kurus, datang dari segenap penjuru yang jauh