PENYANYI tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebak dan teruja anak sulungnya Siti Aafiyah kini sudah mula bersekolah.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin berkongsi di laman Instagram gambar dia dan suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa ketika menghantar anak kesayangan mereka itu ke sekolah.

Menurut pelantun lagu Bukan Cinta Biasa itu, dia menahan sebak melihat anaknya yang kini sudah berusia empat tahun dan bersungguh-sungguh untuk ke sekolah

“Alhamdulillah, hari ini adalah hari pertama Aafiyah masuk pra-sekolah. Malam semalam Aafiyah tidur awal, bangun tadi ayah kejutkan dia kata nak masuk sekolah dia tak ‘cranky’ pun.

“Bersiap cantik dan siap ‘pose’ lagi depan ayah dan ibu dengan baju sekolah. Semangat betul dia nak ke sekolah. Subhanallah.

“Sampai sekolah, depan pintu kelas dia terus masuk tak tengok belakang dah. Ayah, ibu yang panggil minta salam. Ibu nak menangis tapi tahan saja,” tulisnya di kapsyen.

Menjengah ke ruangan komen, warganet turut memuji pakaian Aafiyah kelihatan rapi dan kemas serta tidak menyangka waktu terlalu cepat berlalu sehingga anak kepada penyanyi lagu Cindai itu sudah pun mula bersekolah.

Siti turut memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa supaya segala yang dilakukan oleh anaknya dalam menuntut ilmu diredai.

“Semoga Allah SWT pelihara anak ibu dan Aafiyah menjadi hamba Allah yang terang hati, diberikan kelancaran dapat menuntut ilmu agama, dunia dan akhirat.

“Dan hamba yang memberi manfaat kepada insan lain. (Terima kasih Cikgu Na bantu Aafiyah),” katanya lagi.

Untuk rekod, Siti mendirikan rumah tangga dengan suaminya pada 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Aafiyah, 4, dan Muhammad Afwa yang kini berusia setahun.