STESEN TV AlHijrah sekali lagi diberi kepercayaan menjadi penyiar utama bagi siaran langsung Majlis Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1443H/2022M.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M ini merupakan program tahunan hasil kerjasama anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kerajaan Negeri Johor dan beberapa jabatan dan agensi Kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Pada tahun ini, satu tema yang cukup signifikan diangkat bertepatan dengan situasi semasa iaitu Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti.

Majlis ini dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 12 hingga 17 Zulkaedah 1443H bersamaan 12 hingga 17 Jun 2022 di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru.

Siaran langsung Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pula boleh diikuti di TV1 selaku penyiar rasmi dan disambung siar di TV AlHijrah serta laman Facebook JAKIM.

Majlis Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan akan bersiaran langsung bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan bersambung jam 2.30 petang hingga 4.30 petang. Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan pula akan bermula pada jam 8.30 malam hingga 11.00 malam.

Semalam, MTHQK dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor.

Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah pada 17 Jun 2022 (Jumaat) pula akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Sedar akan signifikan membaca al-Quran dalam kehidupan seharian, TV AlHijrah menyiarkan siaran langsung Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M sebagai usaha mendidik masyarakat untuk melazimkan bacaan Quran dalam kehidupan seharian masyarakat madani.

Ini menggambarkan komitmen TV AlHijrah dalam menerapkan budaya membaca al-Quran dan memahami intipatinya dikalangan masyarakat Malaysia untuk mengaplikasikan tuntutan syariat dan menjauhi larangan Yang Maha Esa dalam amalan kehidupan seharian kita.

Majlis ini melibatkan 113 orang peserta dari seluruh Malaysia dengan 29 orang peserta menyertai Majlis Tilawah al-Quran dan 84 orang di Majlis Hafazan al-Quran di mana para huffaz lelaki dan wanita akan bertanding dalam 3 kategori seperti 10 Juzuk (14 lelaki dan 14 wanita), 20 Juzuk (14 lelaki dan 14 wanita) dan 30 Juzuk (14 lelaki dan 14 wanita).

Secara asasnya, setiap negeri akan menghantar enam orang wakil bagi semua kategori menjadikan jumlah keseluruhannya adalah seramai 84 orang peserta. Kesemua peserta berumur di antara 12 hingga 25 tahun.

Para peserta akan dinilai oleh barisan jemaah hakim seramai 12 orang bagi acara Tilawah dan 14 orang bagi acara Hafazan yang berkaliber dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Barisan juri akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff. Barisan juri akan mengambil kira aspek kelancaran (fasohah) bacaan dan hafazan masing-masing, hukum tajwid, kelunakan suara, persembahan dan tarannum para peserta.

Johan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan ini pula akan mewakili Malaysia bagi menyertai Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa yang dijadualkan pada 17 hingga 22 Oktober 2022 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.