PELAKON antarabangsa Amber Heard tidak menyalahkan juri atas keputusan kemenangan yang berpihak kepada aktor Johnny Depp, 58, dalam kes saman fitnah pada awal bulan ini.

Pengakuan yang dilakukan Heard itu adalah menerusi sesi temu bual pertama bersama wartawan NBC, Savannah Guthrie baru-baru ini selepas perbicaraan kes saman fitnah tersebut.

Heard, atau nama penuhnya Amber Laura Heard, 36, turut mengakui bahawa dia memahami akan keputusan pihak mahkamah tersebut dan menyatakan bahawa Depp merupakan pelakon yang hebat.

“Bagaimana mereka (pihak juri) tidak dapat simpulkan apa yang terjadi?… Saya tak salahkan mereka.

“Sebenarnya saya faham.

“Dia (Depp) merupakan seorang yang mempunyai perwatakan yang baik dan semua orang merasakan bahawa mereka mengenalinya. Dia seorang pelakon yang hebat,” katanya memetik laporan The Star.

Terdahulu, perbicaraan kes saman fitnah tersebut bersidang selama enam minggu di Mahkamah Circuit di Fairy Country, Virginia, Amerika Syarikat di mana Depp memenangi kes saman malu itu pada 2 Jun yang lalu.

Pada kes itu, juri memutuskan Depp dibayar AS$10 juta (RM43.8 juta) dalam bentuk ganti rugi pampasan dan AS$5 juta (RM21.9 juta) dalam bentuk ganti rugi punitif.

Manakala Heard akan dibayar AS$2 juta (RM8.7 juta) dalam bentuk ganti rugi terhadap komen bekas peguam Depp, Adam Waldman apabila menggelar dakwaan penderaannya sebagai satu penipuan, laporan The Star.

Tambah Heard, dia tidak kisah akan kritikan yang dilontarkan oleh netizen di media sosial susulan kes saman fitnah tersebut.

Pelakon kelahiran Texas, Amerika Syarikat itu juga berkata bahawa orang biasa tidak akan faham mengenai segala perkara yang dialaminya di belakang tabir.

“Saya tak kisah apa yang orang fikir fasal saya atau apa hukuman yang mereka lontar kepada saya mengenai soal peribadi saya di rumah dan rumah tangga saya.

“Saya tak rasakan bahawa orang biasa akan faham mengenai perkara itu. Sebab itu saya tak ambil ia secara peribadi.

“Tapi walaupun seseorang itu pasti bahawa saya layak menerima hentaman dan cacian ini, walaupun mereka pasti yang saya menipu, mereka masih tidak boleh bertentangan mata dengan saya dan berkata bahawa perwakilan yang adil berlaku di media sosial.

“Mereka tidak boleh beritahu saya bahawa mereka pasti ini semua adil,” ujarnya.

Penasihat undang-undang Heard dan pengikutnya turut menegaskan bahawa keputusan mahkamah itu akan mengakibatkan kemunduran kepada gerakan #MeToo dan menghalang golongan wanita daripada tampil dengan dakwaan serangan seksual.