Rahul Sahu, 10 tahun, terjatuh ke dalam perigi sedalam 24 meter semasa bermain di belakang rumahnya di Raipur, India, Jumaat lalu.- GAMBAR HIASAN


PASUKAN kecemasan India pada Selasa bertungkus lumus menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya OKU pendengaran dan pertuturan yang terperangkap dalam perigi sempit selama empat hari.


Rahul Sahu, 10 tahun, terjatuh ke dalam perigi sedalam 24 meter semasa bermain di belakang rumahnya di Raipur, India, Jumaat lalu.


Beberapa jentera digunakan bagi membantu menggali terowong bersebelahan perigi dengan bantuan pihak tentera dan anggota tindak balas bencana India.


Namun cuaca buruk serta ancaman haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking, telah menyukarkan usaha menyelamat.


Walau bagaimanapun Sahu memberi kerjasama dan maklum balas yang baik sepanjang proses penyelamatan.


Ketua Polis Daerah Janjgir, Vijay Agrawal berkata, sebuah kamera sedang memantau keadaan dan pergerakan Sahu, selain sebuah paip oksigen dan makanan turut dibekalkan.


“Oleh kerana kanak-kanak itu tidak dapat bercakap atau mendengar, kita berdepan cabaran besar,” katanya.


Ketua Menteri Chhattisgarh, Bhupesh Baghel berkata, beliau berharap Sahu dapat dikeluarkan hidup-hidup dan memaklumkan kanak-kanak itu sudah makan sebiji pisang yang diberikan pasukan penyelamat.


Perigi yang tidak bertutup adalah ciri biasa di kawasan perkampungan petani India tetapi sering dikaitkan dengan kemalangan maut yang melibatkan kanak-kanak kecil.