Rahul Sahu, 10 tahun, terjatuh ke dalam perigi sedalam 24 meter semasa bermain di belakang rumahnya di Raipur, India, Jumaat lalu.

SEORANG kanak-kanak lelaki India yang juga orang kurang upaya OKU pendengaran dan pertuturan yang terperangkap dalam perigi sempit selama empat hari akhirnya diselamatkan pasukan kecemasan negara itu lewat malam tadi.


Rahul Sahu, 10 tahun, terjatuh ke dalam perigi sedalam 24 meter semasa bermain di belakang rumahnya di Raipur, India, Jumaat lalu.


Beberapa jentera digunakan bagi membantu menggali terowong bersebelahan perigi dengan bantuan pihak tentera dan anggota tindak balas bencana India.


Ketua Menteri Chhattisgarh, Bhupesh Baghel menerusi ciapan di Twitter berkata, Sahu berjaya dikeluarkan dengan selamat kerana doa semua orang dan usaha berterusan pasukan penyelamat.


Menurut Ketua Pentadbiran Daerah Tempatan, Jeetendra Shukla, Sahu masih hidup namun dalam keadaan lemah dan telah dibawa ke hospital khas berhampiran di daerah berhampiran.


“Seekor ular turut dirakam di dalam perigi itu namun budak lelaki berkenaan menunjukkan keberaniannua untuk kekal tenang semasa operasi dijalankan,” katanya.


Menurut pasukan kecemasan, cuaca buruk serta ancaman haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking, telah menyukarkan usaha menyelamat.


Ketua Polis Daerah Janjgir, Vijay Agrawal berkata, sebuah kamera sedang memantau keadaan dan pergerakan Sahu, selain sebuah paip oksigen dan makanan turut dibekalkan.


“Oleh kerana kanak-kanak itu tidak dapat bercakap atau mendengar, kita berdepan cabaran besar,” katanya.


Perigi yang tidak bertutup adalah ciri biasa di kawasan perkampungan petani India tetapi sering dikaitkan dengan kemalangan maut yang melibatkan kanak-kanak kecil.