Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

JABATAN Imigresen akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melengkapkan siasatan secara penuh profesional susulan penahanan tujuh pegawai jabatan tersebut, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, penahanan kesemua pegawai Imigresen itu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengeluaran pas dan dokumen secara tidak teratur.

Pada masa sama, tujuh pegawai itu juga dituduh melindungi warga asing.

Beliau memaklumkan, penahanan anggota penguatkuasa itu adalah hasil kerjasama Imigresen dan SPRM khususnya dari segi perkongsian maklumat.

“Jabatan ini tidak akan berkompromi dengan pegawai atau kakitangan yang didapati menyalahgunakan kuasa bagi tujuan kepentingan peribadi serta memperolehi wang secara mudah.

“Kesemua yang terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan jika didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Imigresen tahan 49 warga asing dalam operasi kondominium

Semalam, media melaporkan tujuh anggota penguatkuasa ditahan di Sarawak dan Selangor bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai keseluruhan lebih RM500,000.

Semua suspek ditahan reman antara lima hingga tujuh hari bagi membantu siasatan kes yang dilaporkan berlaku antara 2019 hingga 2021.

Enam pegawai penguatkuasa terbabit termasuk pegawai kanan dan seorang warga asing ditahan SPRM di Sarawak manakala seorang lagi ditahan bersama seorang wanita tempatan yang juga pemilik syarikat di Selangor.

Seorang pegawai kanan berusia 50-an ditahan bersama lelaki warga asing berusia 30-an kerana dipercayai meminta dan menerima wang rasuah lebih RM300,000.

Wang berkenaan diterima daripada beberapa individu yang mengaji pekerja asing sebagai balasan untuk memudahkan permohonan pas pekerja yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram