PELAKON Datin Almy Nadia memuat naik video di Instagram baru-baru ini memarahi anak sulungnya iaitu Nur Afrina Arianna, 7, kerana memberi duit belanja kepada rakan lelakinya di sebuah sekolah agama. 

Menerusi video tersebut, Almy turut menegur anak perempuannya itu supaya hanya membantu orang yang betul-betul dalam keadaan terdesak.

Almy, atau nama penuhnya Almy Nadia Aminuddin Shah, 36, turut memberitahu kepada anaknya itu bahawa untuk mencari duit bukanlah senang malah harus bekerja keras.

“RM5 mama bagi awak duit belanja untuk sekolah agama. Kenapa awak nak kena bagi duit kepada dia. Dia susah sangat ke? Kalau dia nak, awak kena bagi je semua? 

“Lepasni mama taknak bagi dah duit belanja kat awak. Asyik tabur je duit tu kat orang.

“Ingat senang ke nak dapat duit? Nak duit ni kena bekerja tau. Awak ada kerja?

“Mama dah cakap kan kita bantu orang yang betul betul susah, jikalau dia takde duit, takde makan, duduk termenung, orang susah.

“Ini minta, dapat. Ingat apa,” katanya.

Menerusi video yang berdurasi dua minit dan dua saat itu, wajah Afrina berubah sayu setelah dimarahi Almy.

Menjengah ke ruangan komen, rakan-rakan artis serta netizen memuji pelakon berkenaan mendidik anak supaya lebih berwaspada pada masa akan datang.

Segelintir netizen juga turut berpesan kepada ibu bapa di luar sana untuk tegas mendidik anak-anak supaya tidak meminta duit daripada rakan-rakan.

“Bagus datin, suka cara datin didik dia,” komen Ryzal Ibrahim.

“Kepada ibu bapa di luar sana, tolong pesan kepada anak-anak jangan minta duit dekat kawan. Tolong bertegas sikit bab ini. Cuba tiap kali balik, tanya harini dah beli apa, ada pinjam duit kawan ke. Dapat kawan lembut hati macam kakak (Afrina) ni, terus je dia bagi.

“Benda ni memang berleluasa dekat mana-mana sekolah sekarang. Kadang yang bagi duit pulak tak cukup makan sebab nak tolong kawan punya pasal. 

“Cikgu-cikgu pun pening nak menyelesaikan hal ini,” tulis Tasha Manshahar pada ruangan komen.

Sehingga artikel ini ditulis, video yang telah dimuat naik semalam itu meraih lebih 200 ribu jumlah tontonan beserta lebih 17 ribu jumlah tanda suka dan 662 komen. 

Untuk rekod, Almy dan pelakon Datuk Fizz Fairuz Zainal Abidin, 42, mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014.

Selain Afrina, pasangan ini juga mempunyai tiga orang anak iaitu Nur Afrina Aurora, 6; Nur Afrina Ayra, 4; dan Nur Afrina Aisyah yang berusia hampir enam bulan.