KUMPULAN pop Korea Selatan, BTS baru-baru ini membuat pengumuman mereka bakal berehat seketika dan salah seorang anggotanya iaitu Jin menunjukkan minat untuk menceburi program televisyen.

Jin yang juga merupakan anggota tertua di dalam kumpulan tersebut memberi tahu dia ingin menceburi program televisyen kerana ia membuatkan dia rasa seronok dan teruja untuk menyertainya.

“Saya mahu terlibat dalam program televisyen untuk membuatkan diri saya gembira.

“Bukan disebabkan populariti yang ada tetapi saya rasakan penggambaran program seperti iti menyeronokkan,” katanya.

Jin akui dan sedar bahawa sebarang penggambaran program televisyen adalah sangat mencabar dan dia telah bersiap sedia untuk berseronok sepanjang tempoh penggambaran itu.

“Saya tahu penggambarannya sangat mencabar namun ia boleh buat saya ketawa ketika berada di lokasi,” ujarnya dalam tembual bersama Weverse Magazine.

Menurut penyanyi berusia 30 tahun itu, dia kini menjadi seorang yang lebih yakin selepas satu dekad dia bersama kumpulan lelaki terhangat di seluruh dunia itu.

“Personaliti saya berubah sepanjang bersama BTS. Jika ada sebarang kerja saya rasa boleh melakukannya sekarang ini,” ujarnya.

Keputusan untuk berehat dibuat oleh ke semua anggota kumpulan tersebut adalah untuk mengembangkan lagi bakat seni mereka secara solo di samping mahu berehat setelah 10 tahun mereka membina nama di pentas dunia.

Untuk rekod, BTS telah memecahkan rekod di Billboard Music Awards dengan menjadi kumpulan yang paling banyak memenangi anugerah di pentas berprestij itu sejak kali pertama tercalon 2017 sehingga kini.