Haji mabrur segenap dimensi

Musim mengagungkan syiar Allah kini tiba lagi. Debaran hati yang menanti pemergian ke Tanah Suci semakin kuat dan kencang. Keterujaan menjejakkan kaki dan hati ke Baitullah bagi menunaikan haji turut dirasai keluarga dan taulan. Sudah tentu kemabruran daripada haji yang diidamkan.

Balasan yang tiada taranya bagi yang diterima dan direstui ibadahnya oleh Allah ini tidak lain syurga terindah yang menanti. Namun, mabrurnya sebuah ibadah haji bukan hanya di Tanah Suci. Akan tetapi mabrurnya itu harus pada segenap dimensi. Dimensi sebelum, semasa dan pasca haji.

Mabrur sebelum ke Tanah Suci

Pertamanya inilah yang wajib diperhatikan dan diperhalusi. Persiapan fizikal, mental, material terutamanya spiritual harus ‘mabrur’ terlebih dahulu.

Kesihatan dan amanah fizikal yang dikurniakan Ilahi perlu dijaga dan diawasi. Pastikan segala penyakit mahupun gangguan kesihatan segera ditangani juga dihindari. Bagi yang sudah diuji musibahnya, perlulah menjaga aturan ubatannya dan rawatan susulannya.

Jaga juga mabrurnya fizikal itu dengan menjaga anggota dan pancaindera daripada melakukan maksiat zahirnya mahupun yang batin.

Kedua daripada aspek mental. Kemabrurannya dipelihara dengan ilmu dan pengetahuan. Banyakkan pembacaan dan juga persediaan maklumat khasnya mengenai ibadah haji yang bakal dilakukan.

Jangan berpada hanya dengan kursus yang dihadiri, namun usahakanlah lebih lagi. Akal hanya akan hidup dengan ilmu. Selain itu banyakkan membaca al-Quran agar terus berpedoman. Mukjizatnya mampu menghalang minda daripada nyanyuk dan renta.

Antara yang terpenting ialah sumber kewangan yang membiayai ibadah haji. Aspek material yang menjadi salah satu syarat utama dalam kemampuan menunaikan rukun kelima umat Islam ini.

Pastikan rezeki yang diperoleh jauh daripada riba, najis rasuah dan segala yang keji. Hak yang menanti di medan asnaf juga jangan dilupai. Jika tidak, khuatir ibadah yang dilalui hanya beroleh penat dan lelah yang tiada perkenan daripada Allah.

Persis syair Arab yang masyhur,

“Jika sumber perbelanjaan hajimu itu dari yang keji, tiada dikatakan kamu yang berhaji. Akan tetapi kenderaanmu itulah yang menunaikan haji.”

Persiapan spiritual juga perlu dinilai. Jiwa yang ikhlas akan memudahkan ibadah dilakukan penuh minat dan sabar. Hanya jiwa nurani yang suci dapat menatijahkan ibadah yang murni.

Ikhlaskanlah diri. Haji bukan sekadar gelar yang mahu dimiliki. Dipanggil sebelum nama menunjukkan izzah diri. Jika itu yang dicari. Maka kosonglah nilai di sisi Ilahi. Haji mampu memugar dan menalar makna diri. Jiwa yang lebih tunduk dan zuhud kepada-Nya. Nafsu yang terdidik lazat beribadah kerana-Nya. Kebahagiaan akhirat matlamat akhirnya.

Mabrur Di Tanah Suci

Inti pati mabrur ini sudah termeterai dalam wahyu Rabbani. Firman Allah dalam surah al-Baqarah: 197 ini wajar ditekuni dan diamalkan.

“(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh melakukan rafath, berbuat fasik dan berbantah-bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.”

Inilah ayat yang menjadi paksi dalam kemabruran sebuah ibadah haji. Segala larangan dan tegahan punya hikmah dan panduan. Pakaian ihram yang serupa mengajar bahawasanya darjat manusia itu sama. Tiada pangkat yang dibanggakan mahupun jawatan yang digalas.

Setiap individu jemaah haji harus akur, tunduk dan patuh kepada larangan Ihram. Tiada pilih kasih. Mendidik manusia agar mudah tunduk kepada syariat dan kehendak Tuhan.

Segala anggota seolah-olah dikawal terutama mulut daripada bicara kelucahan, ketidaksopanan dan kekasaran mahupun pertengkaran. Sikap yang fasiq juga tersembunyi jauh dalam lipatan diari kehidupan. Kebaikan berleluasa. Dosa mula dirasakan besar bak gunung yang bakal menghempap dirinya.

Pada kehangatan Arafah manusia mengiktiraf akan ulah dan salah sehingga lebur segalanya lalu terkikis karat dosa dari hidupnya. Tawaf di Kaabah menjadi saksi kesatuan manusia dalam keseragaman ibadah yang unik  dan hebat.

Sai antara Safa dan Marwah mendidik manusia agar berusaha sejerih mungkin dalam kehidupan dunia bagi kesenangan akhirat. Tergambar susah sang ibu bernama Hajar dalam usaha mencari air buat Ismail a.s. menterjemah sucinya pengorbanan ibu dalam mendidik keluarga yang diamanahkan Allah.

Lontaran di Jamrah mencerminkan ibrah penuh hikmah. Bukan hakikat syaitan yang dilontar, namun sikap ke’syaitanan’, keegoan dan kehitaman hati itulah yang dilontar keluar daripada diri seorang insan.

Apabila segala ibadah ini dihayati dan diasimilasi, maka akan lahirlah insan baru yang bersih persis baru dilahirkan si ibu tanpa dosa kesan ibadah haji yang dicermati dan sempurna.                                  

Mabrur pasca haji 

Setelah selesai musim ibadah, maka pastinya yang ingin dilihat adalah natijah. Tanda kemabruran bukan hanya jelas dengan kopiah mahupun serban juga tasbih dan atar yang jadi pilihan.

Memakainya tidaklah salah, namun jika luarannya indah tapi hakikat sebenar masih belum berubah maka mabrur hajinya boleh diragui.

Buat si hajah pula jika kepalanya masih bertudung jambul dan masih ketat bajunya persis petani membungkus nangka maka mabrurnya boleh diragui jua. Lalu di mana nilai mabrurnya?

Lihatlah pada solat yang dilakukan. Masjid atau surau jadi tempat pilihan. Berjemaah diutamakan. Al-Quran menjadi pilihan halwa telinga dan yang dibaca. Zakat, sedekah dan infaq mudah sentiasa. Taubat dan kesal jadi biasa.

Akhlak yang indah jadi perhiasan peribadinya. Pakaian yang disarung ke tubuh sesuai dengan panduan al-Rahman. Kehidupan material dan fizikalnya jadi semakin terarah ke akhirat sana. Segalanya dijustifikasikan dengan nilai akhirat.

Landasan hidupnya jadi semakin jelas dan tepat. Maksiat jadi tawar dan hambar. Ibadah dan taat jadi semakin manis dan segar. Banyakkan berdoa agar perubahan yang dilakukan terus terikat dan tersisip kemas dalam lembaran hidup yang tidak sekali-kali takkan kembali longgar.

Inilah segenap dimensi kemabruran ibadah haji. Semoga semuanya bakal dinikmati oleh calon-calon tetamu Ilahi dalam rehlah Imaniyyah yang bakal dilalui. Wallahu a’lam

___________________________________-

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare