Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan menerima kunjungan 60 ahli delegasi Pertubuhan Kasih Iffah Kedah

PERBADANAN Tabung Pinjaman Tinggi Nasional (PTPTN) telah membuat permohonan kepada kerajaan supaya melanjutkan tempoh pemberian diskaun bayaran balik pinjaman sehingga 31 Disember depan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan memaklumkan, beliau telah pun menulis surat berhubung perkara tersebut kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada bulan April lalu.

Menurut beliau, jawapan itu yang telah diberikannya kepada delegasi pemimpin masyarakat daripada beberapa Parlimen di Kedah apabila ditanyakan mengenai isu berkenaan.

Wan Saiful berkata, beliau sebelum ini telah mendapatkan persetujuan kerajaan untuk memberikan diskaun 15 peratus kepada individu yang membuat penyelesaian hutang secara keseluruhan mulai 1 November 2021.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, diskaun berkenaan telah pun tamat pada 30 April lalu.

“Pelaksanaan insentif diskaun tersebut telah memberikan manfaat kepada ramai peminjam.

Baca artikel berkaitan: Peminjam PTPTN terkesan banjir diberi penangguhan bayaran

“Dalam situasi ekonomi yang mencabar, sudah pasti diskaun tersebut adalah berita baik yang disambut oleh ramai,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful turut berharap kerajaan dapat memberi kelulusan kepada cadangan yang diutarakannya kerana ia tidak melibatkan skim baharu.

Sebaliknya, beliau memaklumkan hanya mahu mengekalkan skim yang sama untuk memberi manfaat kepada lebih ramai peminjam.

“Dalam keadaan ekonomi yang terus kekal mencabar adalah wajar kerajaan meneruskan skim yang sedia ada.

“Saya hanya mahu mengekalkan skim yang sama sahaja untuk memberi manfaat kepada lebih ramai peminjam terutama dalam suasana ekonomi hari ini,” jelas beliau.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada 60 ahli delegasi Pertubuhan Kasih Iffah Kedah yang membuat lawatan ke PTPTN.

“Semoga dengan lawatan tersebut akan membolehkan lebih ramai pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi mengenali PTPTN dengan lebih dekat,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram