PEMANGKU Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim - Gambar FB TMJ

PEMANGKU Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim akan kembali menerajui pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim FC (JDT) selepas membuat keputusan meninggalkan pasukan itu minggu lalu.

Perkara itu dimaklumkan Yang DiPertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Rahim, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah bertitah dan memberi perkenan supaya Tunku Ismail terus menerajui dan mengendalikan pasukan bola sepak JDT.

“Sultan Ibrahim telah bertitah hari ini berkenan supaya Pemangku Raja, Tunku Mahkota Tunku Ismail terus menerajui dan mengendalikan pasukan bola sepak JDT bagi memartabatkan sukan bola sepak di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya.

Minggu lalu, Tunku Ismail ‘mengejutkan’ peminat JDT dan seluruh negara selepas mengumumkan akan berundur diri daripada terus mengendalikan JDT.

Baca artikel berkaitan: Bola sepak Malaysia sememangnya perlukan TMJ – Pan Gon

“Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.

“Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua,” kata Tunku Ismail.

Sebagai rekod, Tunku Ismail menjadi watak penting dalam mentransformasikan pasukan itu sehingga berjaya menjadi pasukan gergasi dalam kancah bola sepak tempatan.

Deretan kejuaraan liga tempatan dan piala domestik berada dalam kabinet Harimau Selatan antaranya lapan kejuaraan Liga Super berturut-turut, dua Piala Malaysia dan satu Piala FA.

Bukan setakat jaguh di laman sendiri namun mereka juga berjaya mencipta reputasi tersendiri di pentas Asia apabila mencipta sejarah menjuarai Piala AFC pada 2015.

Mereka terus menempa sejarah apabila menjadi pasukan pertama dari Malaysia melayakkan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram