angka ganjil nombor tujuh

Daripada Aisyah, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
(HR al-Bukhari dan Muslim)

Begitu juga Imam al-Ghazali mengungkapkan  bahawa “Ilmu tanpa amal, gila, dan amal tanpa ilmu, sia-sia.”

Memahami sesuatu rahsia yang Allah selitkan di sebalik amalan yang dilakukan akan menjadikan betapa manisnya menghayati ibadat. Setiap sesuatu yang Allah jadikan mesti ada rahsianya namun jangan sampai terlalu taksub hingga menganggap sesuatu nombor itu boleh membawa tuah dan mudarat kerana hanya Allah saja yang berkuasa melakukan apa saja.  Berpegang kepada pendapat itu, jadi tidak salah untuk mengetahui rahsia di sebalik angka ganjil itu terutamanya tujuh.

Jika dari sudut agama nombor ganjil dikaitkan dengan Allah itu ganjil dan Dia menyukai yang ganjil. Setiap ibadat dan amalan yang dilakukan oleh umat Islam di dalam jumlah yang ganjil sebagai salah satu isyarat kepada minda bahawa Allah itu satu.

Namun apa pula penjelasannya di sebalik rahsia nombor ganjil yang difokuskan kepada angka tujuh? Bagaimana karakter nombor tujuh itu dapat menjelaskan dan kenapa ia menjadi pilihan?

Pengetahuan ini sekadar untuk  menjadikan kita lebih faham mengapa sesuatu nombor itu menjadi keutamaan berbanding nombor lain. Bukan untuk mengajar tapi sekadar berkongsi sedikit ilmu agar kita lebih faham apabila menjalani ibadat. 

Pendapat yang dikongsikan  oleh Pengasas Colour Vibration Therapy, Profesor Dr. Norhisham Wahab, agak menarik apabila menceritakan rahsia di sebalik angka tujuh dan nombor ganjil. Menurutnya angka ganjil bersifat aktif, manakala angka genap bersifat pasif.

Apa yang dimaksudkan dengan bersifat aktif adalah dari segi ionnya, angka ganjil mempunyai ion bercas negatif. Dari sudut sains ion negatif bersifat aktif, bereaksi, bertindak dan lebih kuasa kemagnetan.  

Jelasnya, sebab itulah digalakkan melakukan sesuatu amalan di dalam bilangan yang ganjil namun bukan satu tapi tiga atau tujuh. Memanglah satu itu juga termasuk di dalam angka ganjil tapi ia adalah jumlah yang paling minimum.

Amalan atau berdoa yang dilakukan sekali belum mencapai tahap betul-betul kuat. Seelok-eloknya amalan dilakukan tiga kali paling minimum, barulah ia boleh bereaksi terutamanya doa.

“Diandaikan begini, misalnya berdoa dilakukan hanya sekali maka ia hanya sampai pada tahap cetusan niat saja iaitu magnitut. Belum ada usaha untuk menjadikan doa itu termakbul. Jika berdoa dua kali, ia baru sampai tahap amplitut, ia sudah dilafazkan namun untuk menjadikan doa itu makbul masih jauh lagi.

“Kemudian apabila doa itu dilakukan tiga kali barulah ada frekuensi, ada sifat atau dengan maksud lain ada kesungguhan untuk menjadikan doa itu makbul. Kalau buat tujuh lagi bagus kerana adalah simbolik banyak, tidak ada had atau infiniti.

“Akan ada perubahan apabila kita melafazkan doa itu tiga kali, barulah dikatakan doa itu ada sifatnya. Makna sifat itu adalah apa yang kita kehendaki diterjemahkan dalam maksud yang jelas. Doa yang diulang-ulang dan jangan kurang daripada tiga kali itu adalah permintaan yang jelas dan kalau tujuh kali lagi baik kerana ia paling jelas.

“Setelah tiga kali dilakukan barulah menepati hukumnya iaitu magnitut, amplitut, ferekuensi dan  resonan yang bermaksud kun fayakun (jadi). Bila sabar dan redha selepas kemusanahan barulah ada kejayaan,” terangnya.

Kemudian timbul persoalan mengapa tiga dan tujuh, tidak lima atau Sembilan? Jawab Prof. Norhisham, lima adalah angka di tengah-tengah, ia adalah simbolik keseimbangan. Bila kita buat sesuatu ibadat atau berdoa apa yang kita hendak sebenarnya?

Adakah kita cukup dengan ibadat yang seimbang saja, tentu tidak bukan? Biasanya kita mahukan ibadat yang sedikit tetapi mendapat pahala seperti melakukan ibadat yang banyak. Di situlah timbul persoalannya kita hendak karakter apa di dalam ibadat? Adakah seimbang, banyak atau kemenangan?

Kenapa 7 tidak 9?

Bila kita memilih mahukan ibadat yang banyak dan tidak ada hadnya maka lakukanlah di dalam bilangan tujuh kerana seperti yang dibicarakan di awal tadi tujuh adalah simbolik banyak. Sebaliknya jika mahukan kemenangan maka lakukanlah sembilan kali.

Sembilan adalah simbolik kemenangan namun di dalam hal ibadat adakah kita mengejar kemenangan? Sudah tentu tidak! Sebab itulah jumlah di dalam ibadat yang dilakukan tidak diletakan atau diwajibkan melakukannya sebanyak sembilan kali kerana ia lambang kemenangan.

Biarlah kita pilih karakter banyak, mewah, kaya dan tidak ada hadnya di dalam ibadat iaitu lakukannya dalam bilangan tujuh. Supaya ganjaran yang diperolehi sama banyak ibadat yang  dilakukan maka nombor yang paling tepat untuk menggambarkan banyak adalah tujuh.

Itu jugalah yang Allah sebut di dalam al-Quran, tujuh petala langit dan bumi, ia membawa maksud banyak dan luas. Sebagai contohnya tujuh petala langit, betapa luasnya ia hinggakan yang mampu dijangkau oleh pemikiran manusia setakat ini tidak sampai pun 10 peratus.

Allah juga menyebut dijadikan tujuh petala langit sebanyak tujuh kali dalam surah yang berlainan kemudian barulah disebutkan bumi juga dijadikan sama. Tujuh petala langit itu juga membawa kesempurnaan yang lengkap. Seperti yang disebut dalam surah At-Talaaq: 12,

“Allah menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.”

Maknanya, apabila alam semesta telah lengkap dan sempurna termasuklah planet cakerawala barulah terciptanya bumi yang terakhir. Apabila bumi telah diciptakan dengan sempurna dengan keseimbangan empat unsur iaitu hidrogen, oksigen, karbon dioksida dan nitrogen.

“Empat elemen itulah yang menguasai 114 atom (bersamaan 114 surah al-Quran) pada ruang udara, tanah, air dan cahaya di bumi serta sesuai untuk segala kehidupan. Sebelum manusia diturunkan, bumi dihuni terlebih dahulu oleh dinosaur untuk menguji kesesuaian kandungan udara bagi hidupan kemudian barulah diturunkan Adam.    

“Setelah manusia sempurna kemudian barulah diturunkan al-Quran. Al-Quran adalah kesempurnaan bagi segala penciptaan yang mengandungi panduan, hukum, segalanya tentang kehidupan, peringatan tentang syurga neraka dan peristiwa yang boleh dijadikan iktibar.

Alangkah bertuahnya kita sebagai umat Muhammad kerana diberikan al-Quran itu sebagai pegangan hidup kerana kitab itu telah lengkap segala-galanya,” Wallahu a’lam

____________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare