PELAKON jelita Puteri Sarah Liyana berkata dia tidak ambil peduli mengenai isu suaminya iaitu pengarah, Syamsul Yusof, 38, yang dikatakan bakal berkahwin dengan anak perempuan pelakon veteran, Ira Kazar.

Ia sekaligus menjadi punca pergolakan dan keruntuhan rumah tangga pasangan selebriti itu.

Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 36, berkata, dia enggan mengulas mengenai isu keretakan rumah tangganya itu dan hanya memberi keutamaan kepada keadaan anak-anaknya yang terpaksa dirawat di hospital akibat demam panas.

ARTIKEL BERKAITAN : Puteri Sarah terkilan masih diganggu Ira Kaza, jadi punca tak tinggal sebumbung dengan suami , “Jumpa di mahkamah…,” – Puteri Sarah mahu saman siapa?

“Saya tak nak fikir apa-apa. Rasanya tak perlu saya ulas mengenai isu ini.

“Hati saya tenang-tenang sahaja sekembali mengerjakan umrah, bulan lalu. Memang saya melalui pergolakan rumah tangga sejak empat tahun lalu, namun, Allah lebih tahu.

“Buat masa sekarang, keutamaan saya adalah anak-anak. Sekarang, Syaikhul Islam dan Sumayyah sedang sakit.

“Saya kasihan melihat Syaikhul yang kini hanya terlantar. Bibirnya kering, pecah dan berdarah hingga perlu bernafas mengikut mulut. Sumayyah pula dalam pemantauan doktor.

“Kisah Syamsul nak kahwin lagi, biarlah… Saya tak kuasa ambil kisah,” katanya memetik laporan BH Online.

Puteri Sarah berkata, Syaikhul terpaksa dimasukkan ke hospital akibat demam panas yang teruk, manakala, Sumayyah yang mendapat jangkitan abangnya tidak dapat ditempatkan di hospital kerana katil penuh.

Difahamkan, Sumayyah,3, terkena jangkitan demam panas daripada abangnya iaitu Syaikhul,5, namun tidak dapat ditempatkan di hospital kerana katil penuh.

Sebelum ini , kisah rumah tangga pasangan selebriti itu didakwa sedang dilanda masalah sehinga mendapat perhatian netizen.

Puteri Sarah juga pernah mengakui bahawa dia tidak tinggal sebumbung bersama pengarah terbaik Asia Pasifik itu menerusi Insta Storynya pada bulan April yang lalu.

Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan memiliki sepasang cahaya mata.