BERITA pemergian penyanyi Adibah Noor, 52, bukan hanya dirasai penggiat seni tanah air dan peminat, malah pemimpin negara turut terkesan dengan kehilangan besar permata negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu bukan sahaja memiliki bakat dalam bidang nyanyian, malah turut bersinar dalam dunia lakonan dan pengacaraan.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham dan didoakan semoga mereka tabah menghadapi kehilangan ini.

“Semoga Allahyaham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham Adibah Noor,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Allahyarham Adibah sebagai satu kehilangan yang cukup besar dalam industri seni kreatif.

“Negara dikejutkan dengan pemergian tokoh penghibur yang sangat berbakat dan disenangi ramai, Allahyarham Adibah Noor. Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Ternyata pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang cukup besar dan tiada galang gantinya buat industri seni tanah air.

“Sesungguhnya karya-karya seni Allahyarham akan terus dikenang dan dingati selamanya oleh rakyat Malaysia,” tulisnya.

Adibah yang merupakan finalis Gegar Vaganza musim kelapan, disahkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Ampang pad pukul 7.40 malam selepas menderita kanser ovari tahap empat.

Jenazah Adibah dibawa pulang ke rumahnya di Keramat Permai sekitar jam 10.30 malam tadi bagi membolehkan keluarga dan rakan-rakan terdekat memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Ansar, Keramat jam 9 pagi hari ini untuk dimandi dan dikafankan seterusnya disolatkan.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Keramat Permai sekitar jam 10:30 pagi ini