SEORANG pemuda bernama Amin meminta dibelikan sebuah motosikal. Tapi ayahnya hanya seorang petani biasa, tidak mampu menunaikan kehendaknya itu.

“Kawan-kawan saya semuanya ada motor. Minta sahaja dengan ayah mereka, semua dapat. Tapi bila saya minta dengan ayah, semua tak boleh,” bentak Amin.

Tidak lama kemudian, Amin membuat keputusan mahu pergi ke bandar mencari kerja. Dia benci dengan kehidupannya yang miskin. Ayahnya tidak pernah mampu menunaikan sebarang permintaannya.

Sebelum berangkat, ayahnya hulurkan sekeping sampul surat. Amin mencapai sampul itu lalu pergi tanpa mengucapkan sepatah kata pun kepada ayahnya.

Dalam perjalanan, dia membuka sampul itu. Amin sekali lagi kecewa. Dia harapkan dalam sampul itu berisi duit, sebaliknya di dalamnya ada sekeping nota yang tertulis…

“Maafkan ayah selama ini tidak pernah tunaikan permintaan kamu. Bukan ayah tidak pernah cuba, tetapi ayah tidak mampu. Tapi, setiap hari ayah kirimkan kamu dengan doa. Doa untuk kamu tidak pernah putus seperti mana ayah sayangkan kamu. Berusahalah anak ku. Setiap masa ayah akan kirimkan doa untuk mu.”

Amin mengeluh. Apa yang ada pada doa? Apa yang dia perlukan adalah kemewahan seperti rakan-rakannya yang lain. Amin tekad akan buktikan dia akan berjaya dengan usahanya sendiri, bukannya hanya dengan doa ayahnya.

Sampai di bandar, Amin terus ke sebuah syarikat untuk menghadiri temu duga. Dia mengeluarkan fail yang mengandungi semua sijil pelajarannya. Sijilnya tidak berapa elok dan juga pelajarannya sekadar cukup tamat persekolahan sahaja.

Pengurus syarikat membelek-belek sijil Amin. Dia menggelengkan kepala. Kelayakan kamu tidak mencukupi untuk saya ambil kamu bekerja,” kata pengurus itu.

Sebaik pengurus itu mahu mengembalikan fail itu kepada Amin, tiba-tiba terjatuh nota yang diberikan oleh ayah Amin yang terselit dalam fail itu.

Pengurus itu membaca nota itu dan berasa sedih.

“Kelayakan kamu memang tidak mencukupi untuk bekerja di sini. Tapi mungkin mustajabnya doa ayah kamu membuatkan rezeki kamu terbuka luas. Doa ibu dan ayah tiada hijabnya di sisi Allah. Saya menerima kamu bekerja di sini,” ujar pengurus itu.

Amin terdiam. Tiba-tiba hatinya sebak, teringat kepada ayahnya.

  • Ingatlah, kejayaan yang kita kecapi bukan saja kerana usaha kita, tapi juga berkat doa ayah dan ibu. Firman Allah S.W.T : “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa…. “ (Surah Al-Ana’am : 151).

‘SELAMAT HARI BAPA’.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com