REMAJA lelaki yang dilaporkan hilang Khamis lepas ditemukan di Jalan Seraya Kampung Melayu Ampang dekat sini, awal pagi tadi.

Ali Imran Naseruddin, 16, ditemukan dalam keadaan selamat pada 3.05 pagi.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan hari ini berkata remaja lelaki itu ditemukan dalam keadaan baik oleh sepasukan anggota kereta peronda polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang dan kes tersebut telah selesai. 

Pelajar SMK USJ 4, Ali Imran Naseruddin, 16, ditemui selamat di Ampang. Gambar FB Wan Esuriyanti

Sementara itu, ibu Ali Imran, Wan Esuriyanti Wan Ahmad menerusi hantaran di Facebook mengucapkan terima kasih dan syukur apabila anak lelakinya ditemukan dalam keadaan selamat.

Baca: Remaja 16 tahun hilang, ibu rayu bantuan orang ramai

“Terima kasih tidak terhingga kepada keluarga, rakan dan polis yang berterusan membantu dan menyokong untuk membawa Ali pulang. Ali kini sihat, biarpun agak keletihan.

“Harapan kami, agar tiada ibu bapa yang perlu mengharungi keadaan ini dan tiada anggapan buruk ke atas Ali, dia mempunyai sebab sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Ali Imran dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya dan pemeriksaan kamera litar tertutup pos kawalan mendapati remaja tersebut berjalan kaki seorang diri keluar dari kawasan perumahan  Nilam Terraces, Bandar Bukit Puchong 2, Selangor pada 3.57 pagi, Khamis lepas.

— BERNAMA