tehran yang menyakitkan
Pemandangan ibu kota Tehran. Kredit foto: Rasoul Safizadeh

Inilah secebis kisah yang dipetik daripada sejuta pengalaman Datuk Zamri Mohammad yang menyertai Kembara umrah bermotosikal pertama di dunia bermula 14 Mei dan berakhir 5 Julai 2010.

Kerajaan Arab Saudi mengiktiraf mereka sebagai 10 orang pertama di dunia yang berjaya masuk ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah bermotosikal. Di dalam sejuta pengalaman yang dilalui tercatat satu peristiwa hitam yang benar-benar menguji keimanannya. Ketika nyawa berada di hujung pistol, siapa yang akan menjadi penyelamat? Dihentak, ditumbuk dan diseksa, pedihnya hanya Allah saja yang tahu. Ketakutan? Usah cerita, jika ia boleh digambarkan dengan peratusan mungkin 101 peratus. Takut, takut dan takut!

Setelah enam buah negara ditempuhi, banyak peristiwa hebat yang telah berlaku namun ia tidak segetir saat singgah di jantung Tehran. Pelbagai liku perjalanan pernah ditempohi, terperangkap di kawasan pergunungan, dirempuh lori pikap saat menunggang di China nyaris-nyaris meragut nyawanya namun berpantang mati sebelum ajal.

Namun semua peristiwa itu tidak sama seperti yang dirasai ketika berada di Tehran. Di situ, dia lebih mengenal erti hidup bertuhan, Allah tempat bergantung, meminta dan penyelamat. Apa yang sebenarnya berlaku di situ?

Selasa 15 Jun 2010, Tehran, Iran…

Keadaan ibu negara Iran agak tegang sedikit rentetan daripada pergolakan politik dan rusuhan rakyat tempatan. Polis dan askar menghuni setiap ceruk ibu kota Iran itu demi menjaga keamanan dan keselamatan penduduk.

Kesempatan berada di Tehran tidak disia-siakan begitu saja oleh Zamri, masih ada banyak yang perlu dilakukan. Yang paling utama sekali adalah untuk mencari alat ganti motosikal untuk membetulkan mana-mana yang telah rosak. Malangnya, mencari alat ganti di Tehran bukanlah satu perkara yang mudah, jika ada pun harganya terlalu mahal.

Namun apakan daya kerana keperluan, terpaksa juga dibeli. Kalau tidak, alamatnya tidak jalanlah motosikal. Agak lama juga masa yang diambil oleh mekanik untuk menggantikan kerosakan. Perut pun sudah terasa lapar. Sabarlah perut!  sekejap lagi semuanya selesai dan boleh pergi makan.

“Hah dah siap pun!”

Tiba-tiba Firdaus bersuara setelah melihat mekanik menyelesaikan kerjanya sambil menala lensa kameranya ke arah jalan raya yang semakin sibuk. Zamri hanya memerhatikan gelagat Firdaus yang terus leka dengan kameranya tanpa menghiraukan kehadiran polis dan tentera.

“Sudahlah tu! Banyak sangat dah kau ambil gambar, buatnya salah ambil tidak fasal-fasal kena tahan polis” tegur Zamri.

Keadaan di Tehran sedikit menakutkan bagi Zamri apabila memerhatikan keadaan sekelilingnya yang sentiasa diawasi oleh polis dan tentera.

Setiap kali Fidaus menghalakan lensa kameranya ke sasarannya, hati Zamri berdebar-debar. Terbetik juga perasaan bimbang di hatinya, manalah tahu kalau-kalau di dalam keadaan yang tidak berapa aman itu segala kemungkinan boleh terjadi.

Namun Firdaus buat tidak kisah saja, baginya tidak ada yang mampu menghalang daripada  merakamkan detik-detik indah di jantung Tehran. Motor Zamri dan Arshad terus membelah kesibukan kota. Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat tiba-tiba jalan raya menjadi sesak, tidak ada ruang langsung untuk mencelah. Tiba-tiba beberapa orang lelaki menghampiri motornya lalu merampas kunci.

Konvoi Zamri bersama rakan-rakan menuju kota Mekah dengan bermotorsikal

“Hey! Hey!,” hanya kata-kata itu saja yang sempat keluar dari mulut Zamri.

Dia cuba turun dari motornya namun bahunya ditekan dengan kuat supaya tidak berganjak dari tempat duduk motor. Sementara itu dua orang lelaki lagi sudah mencekup Firdaus dan dibawa lari lalu hilang di bawah jambatan. Hanya nampak sekumpulan lelaki berkerumun dan Firdaus tidak kelihatan lagi.

Zamri dan Arshad saling berpandangan, tidak ada kata-kata yang mampu diucapkan. Dengan bahasa isyarat dia cuba bertanyakan kepada Arshad apa sebenarnya yang telah terjadi. Sama sepertinya, Arshad pun tidak pasti dan hanya mengangkat bahu dan menggelengkan kepala. Zamri mula merasa bimbing. Ke mana perginya Fidaus?

Tiba-tiba bahunya ditepuk dengan keras oleh salah seorang lelaki dari kumpulan itu yang sejak tadi tercegat di belakangnya. Dengan bahawa isyarat lelaki itu mengarahkan Zamri dan Arshad supaya beredar dari situ. Tapi Zamri tetap berkeras tidak mahu beredar selagi tidak mengetahui apa yang berlaku kepada Firdaus.

My friend, where my friend?” tanya Zamri kepada lelaki memegang handle motornya.

“Ok, come…!,” salah seorang daripada mereka mengajaknya dan terus naik di atas tempat duduk belakang motor Zamri. Dan, seorang lagi naik motor bersama Arshad.

Kemudian kami diarahkan mengikut sebuah lagi motor di hadapan menuju ke suatu tempat. Zamri dan Arshad hanya mengekori motor itu dari belakang tanpa diketahui tujuannya. Zamri sudah nekad walau apa pun yang terjadi dia harus mencari Fidaus.

Hatinya mula berdebar-debar apabila memerhati kawasan sekeliling, segalanya dilihat amat mencurigakan. Bagaimana nanti jika ada sesuatu yang buruk berlaku, diculik atau dibunuh, siapa yang akan memberitahu kepada keluarganya.

Ya Allah lindungilah kami dari segala bahaya,” bisik Zamri.

Tiba-tiba motor yang diekori membelok ke sebuah rumah yang berpagar dengan tembok batu setinggi 3 meter, tidak ada apa yang boleh dilihat dari luar. Pintu pagar besi ditutup rapat namun setelah diberi isyarat barulah dibuka dari dalam. Keadaan di dalam, lagi mencurigakannya, macam markas tentera sulit.

Walaupun menempuh pengalaman menakutkan di Tehran namun dia tidak pernah berhenti menakluk dunia dengan motornya

Tanpa diarahkan beberapa orang lelaki datang untuk memunggah semua barang yang tersimpan di dalam kotak simpanan motor. Semuanya dikirai, apa yang mereka cari Zamri tidak pasti. Tiba-tiba datang dua orang lelaki membawa gari lalu menggari tangan Zamri dan Arshad. Lalu mereka mengheretnya ke sebuah bilik soal siasat, rupanya di situ sudah ada Fidaus menunggu dengan tangannya bergari ke belakang kerusi. Hati Zamri sedikit lega kerana kawannya itu selamat.

“Eh! Kau okey ke?” tanya Zamri. Firdaus tidak menjawab sebaliknya hanya menunjukkan riak muka cemas.

Kini tiba pula giliran Zamri dan Arshad diarahkan untuk menanggalkan baju, setelah itu tangannya digari ke belakang kerusi. Dia merasa tidak sedap hati, mula-mula digari selepas ini apa pula?

“Ya Allah selamatkanlah kami dan lindungilah kami dari segala bahaya,” doanya terus meniti di bibir hati.

Zamri dan Arshad saling berpandangan, “tidak ada apa yang boleh selamatkan kita kecuali Allah. Doa banyak-banyak,” pesan Zamri. Memang benar ketika itu dia hanya mengharapkan kepada Allah saja, hanya Allah yang boleh menolong dan tempat bergantung. Bersambung…

______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare