Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Abd Razak Aid

JUMLAH kes baharu COVID-19 di Malaysia bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-24 dari 12 hingga 18 Jun meningkat sebanyak 27.9 peratus atau 11,096 kes kepada 14,195 kes berbanding pada minggu sebelumnya (ME ke-23).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata bilangan kes kematian pada ME ke-24 mencatat penurunan sebanyak 16 peratus iaitu 21 kes berbanding 25 kes pada minggu sebelumnya, menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat COVID-19 setakat ini 35,732.

Beliau berkata purata kes aktif setiap hari bagi ME ke-24 pula meningkat sebanyak 9.3 peratus iaitu 24,053 kes berbanding ME ke-23 manakala jumlah kumulatif kes baharu kini 4,538,922.

“Purata kadar kebolehjangkitan COVID-19 (nilai Rt) pula menunjukkan peningkatan 12.5 peratus iaitu 1.08 berbanding 0.96 pada minggu sebelumnya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau bilangan kes sembuh pada ME ke-24 menurun 2.6 peratus (10,806 kes kepada 10,524 kes) berbanding ME ke-23, menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,476,829 kes.

Baca artikel berkaitan: Pertama kali sejak 18 Disember 2022, sifar kematian akibat Covid-19

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tiada perubahan ketara bagi jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) bagi setiap 100,000 penduduk untuk ME ke-24 berbanding ME sebelumnya.

“Bagaimanapun, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat empat peratus. Jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan juga meningkat 33 peratus.

“Secara keseluruhan, penggunaan katil PKRC menurun satu peratus dan penggunaan katil bukan kritikal pula meningkat satu peratus serta penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) meningkat dua peratus,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kes positif COVID-19 yang dipantau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) seluruh negara menunjukkan peningkatan dengan kedatangan pesakit ke CAC meningkat 22.1 peratus dan bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah juga meningkat 37.6 peratus.

Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital pula meningkat sebanyak 11.4 peratus, katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram