Salam semua. Apa khabar penyokong Malaysia? Adakah semua berpesta teh Tarik lepas pasukan kebangsaaan layak masuk ke AFC Asia Cup selepas 42 tahun?

Mesti ramai berasa teruja tengok pasukan Kim Pang Gon yang akhirnya kelihatan seperti sebuah kumpulan yang boleh bertanding bersama pasukan-pasukan Asia yang lain.

Mungkin lama lagi perjalanan ini, tetapi terbuktinya berbaloi jika hasilnya permainan yang bertunas ‘attacking’ dan penambah baikan pemain muda Malaysia yang akan – atau telah – menjadi aset untuk sukan negara kita.

Kim Pang Gon dan rakan-rakan jurulatihnya sudah mencipta sejarah di Malaysia dan tambahan pula membina satu struktur dan budaya baharu dalam pasukan kebangsaan. Ini akan membina motivasi pemain untuk jangka masa panjang.

Sis nak puji Kim Pang Gon dan pasukan Malaysia kerana menunjukkan jati diri yang kuat untuk melaburkan usaha mengubah ekosistem bola sepak negara dan sekali gus menunjukkan hasil daripada usaha tersebut.

Jadi, ramai mungkin keliru, apa kena mengena tajuk minggu ini dengan kejayaan Harimau Malaya di pentas Bukit Jalil.

Ahad lepas, Paris Saint-Germain dan jurulatih, Mauricio Pochettino bersetuju untuk berpisah dengan pihak masing-masing. Sis dah agak ‘perpisahan’ ini akan terjadi sebab Pochettino melalui perkara yang bertentangan dengan Kim Pang Gon – bekerja dalam pasukan yang tak nak mengubah diri sendiri.

Ramai yang tahu PSG, kelab  besar macam mana tetapi besar dia tu bukannya setaraf  Manchester United, Liverpool, Barcelona atau Real Madrid. Komuniti bola sepak di serata dunia tahu yang PSG ini duit je banyak, sebab itu lah piala pun senang nak dapat.

Mereka bergantung kepada kebolehan duit – AKA kebolehan untuk langggar Financial Fair Play- daripada kebolehan bakat tulen.

Umpamanya orang beli rumah yang dah siap atau ‘move-in ready’ daripada rumah yang memerlukan sentuhan magis mereka sendiri atau ‘TLC’.

Korang pun tahu lah player-player yang dorang beli. Semua dah berumur, dah menang semua benda dekat kelab lama, dah nak pencen ataupun nama-nama besar. Dah macam MLS dah Sis tengok.

Pasukan PSG ini bergantung kepada duit daripada membangunkan bakat mereka sendiri – sebuah pegangan besar dalam kerjaya Pochettino.

Pochettino ini dari dulu dikatakan pengganti yang sempurna untuk United sebab mereka terkenal dengan budaya pembangunan bakat mereka sendiri. Contohnya seperti Class of ’92, Marcus Rashford, Paul Pogba, Anthony Elanga pun sama.

Sepanjang pengalaman Pochettino sebagai jurulatih, beliau sentiasa ingin membangunkan pemain tak kisah sama ada muda atau sudah berumur. Kita boleh tengok zaman Southampton di mana banyak pemain akademi diberikan peluang untuk belajar dibawah beliau dan ramai berjaya menjadi pemain dan juga manusia lebih matang dan profesional.

Di PSG, Pochettino tak boleh buat semua benda tu.

PSG suka beli nama-nama besar dan nama besar juga datang dengan EGO besar.

Pemain yang dah cukup ‘membangun’ tidak akan berfikir untuk bangunkan diri dia lagi sebab rasa mereka dah cukup berpengalaman. Jadi, kalau satu pasukan dah fikir macam tu, Pochettino – yang mempunyai falsafah untuk membina pemain – nak buat apa kat situ?

Di sinilah datang ketidak serasian dua pihak ini.

PSG nak BELI nama besar untuk tujuan komersial tapi Pochettino nak lahirkan seorang pemain yang boleh menjadi warisan kepada kelab.

Ini adalah sebuah kelab yang melebihkan nilai komersial daripada bola sepak, sebuah kelab yang melihat Neymar dan Messi sebagai ‘selling point’ untuk jual baju.

Pochettino ialah seorang pendidik yang lihat Mbappe sebagai pemain yang masih ada masa untuk diperbaiki.

PSG lebih kepada sebuah tarikan pelancongan di Perancis dan jauh daripada sebuah kelab bola sepak.

Pemain-pemain PSG berfikir mereka sudah cukup baik dan walaupun benda itu betul, di mana keinginan untuk menjadi lebih baik?

Mauricio Pochettino gemar pemain yang sentiasa ingin belajar, bekerja keras dan bermain untuk lebih dari diri dia sendiri.

Ego-ego di PSG memang tidak sesuai dengan falsafah Pochettino bukan sahaja dari segi bola sepak tetapi pendirianya sebagai seorang pendidik.

PSG memutuskan hubungan dengan Pochettino hanya membuktikan bahawa mereka tidak mempunyai rancangan untuk ‘membina’, namun akan terus ‘membeli’ ke arah kejayaan.

Mereka tidak layak untuk menerima perkhidmatan jurulatih-jurulatih terbaik di dunia jika ego mereka lebih besar daripada kepentingan bakat. Sis yakin Pochettino akan lebih selesa di kelab yang mementingkan pembangunan masa depan.

*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM