Bersempena penganjuran Istiadat Konvokesyen ke-23, UPSI mengintai peluang merapatkan jurang masyarakat dengan entiti pusat pengajian terulung itu menerusi Festival Muallim buat julung-julung kalinya dilaksanakan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan dan Pelancongan Negeri Perak Darul Ridzuan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, Festival Muallim yang dianjurkan sejak 17 Jun dan berakhir 25 Jun 2022 bersempena Pesta Konvokesyen UPSI ke-23 itu menyaksikan pengukuhan hubungan antara universiti dengan masyarakat setempat daerah ini.

Nolee Ashilin (tengah) memasukkan kunci sebagai simbol gimik pelancaran Festival Muallim dan PESKON UPSI di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim, Perak

“Sejak penubuhannya, reputasi UPSI hebat bukan saja melakar pencapaian merekayasa pembangunan pendidikan negara, sebaliknya mengukuhkan semangat kekitaan dan hubungan lebih erat dengan masyarakat setempat,” jelasnya ketika merasmikan Festival Muallim, Pesta Konvokesyen (PESKON) dan Program From UPSI to Community serta penyampaian hadiah pertandingan Nyanyian Lagu Loghat Negeri Perak 2022 di Dataran Cemerlang Bersama, Kampus Sultan Azlan Shah.

Turut hadir, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI akan terus melestarikan hubungan masyarakat dengan universiti serta memperkasakan edu-tourism yang dapat merancakkan ekonomi setempat selaras hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan memasyarakatkan universiti.

“Menerusi Festival Muallim dan PESKON ini juga menyaksikan penglibatan pelbagai agensi kerajaan serta swasta menerusi pelbagai program yang dilaksanakan seperti perarakan kenderaan berhias melibatkan lapan kontinjen terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), ResQ Team UPSI, Perarakan Sejarawan, Harley Davidson Jelajah 100 tahun UPSI, Kelab Permotoran Honda serta Majlis Mahasiswa Kolej (MMK),” jelasnya.

Perarakan motosikal Harley Davidson sempena jelajah 100 tahun UPSI.

Selain perarakan kereta berhias, Festival Muallim dan PESKON turut menampilkan aktiviti seperti derma darah, pemeriksaan gigi, pameran SPR, pameran seni, sukan ATV, kejohanan E-Sport, Majlis Puisi Seabad Ibu Kandung Suluh Budiman serta pesta jualan makanan serta barangan dagangan dan kemunculan artis-artis tempatan popular seperti kumpulan Bunkface dan Usop Mentor. Festival Muallim dan PESKON UPSI yang membuka tirai seawal pukul 8 pagi hingga 11 malam mengalu-alukan kehadiran orang awam.