Secara umum, kebanyakan kes yang dijatuhi mahkamah mati mandatori ialah berkaitan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

USUL memansuhkan hukuman mati mandatori dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini. Sebelum pembentangan, kerajaan akan mengadakan pungutan suara atau referendum tidak lama lagi bagi mendapatkan reaksi awam berhubung cadangan tersebut.

Referendum ini memberi peluang kepada orang ramai meluah pandangan, memberi reaksi atau feedback terhadap cadangan berkenaan. Kemungkinannya ada golongan yang setuju dan ada yang tidak. Cuma tidak dapat diramal berapa ramai bersetuju atau sebaliknya.

Kerajaan akan mengambil kira pandangan orang ramai sebagai rangka rujuk. Tetapi samaada kerajaan akan tertakluk kepada hasil referendum berkenaan, baik pro atau kontra, masih terlalu awal untuk dibuat kesimpulan.

Yang lebih penting dilakukan pada peringkat ini ialah memberi kefahaman kepada orang ramai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan menghapuskan hukuman mati mandatori. Dengan itu mereka boleh memberi reaksi yang lebih tepat dan relevan.

Ini kerana wujud kekeliruan mengenai cadangan pemansuhan hukuman tersebut. Ada yang menafsirkan ia bermakna hukuman mati akan dihapuskan sepenuhnya di negara ini. Ini adalah silap faham yang perlu diperjelas dan dibetulkan.

Kekeliruan ini menyebabkan wujud rasa tidak senang hati, khususnya di kalangan kaum keluarga yang kehilangan orang tersayang kerana menjadi mangsa pembunuhan. Bagi mereka, pelaku jenayah bunuh tidak harus terlepas, mesti dibalas bunuh. Kata orang putih, ‘an eye for an eye’.

Mereka bimbang jika hukuman mati mandatori dimansuh, penjenayah akan terlepas daripada menerima hukuman setimpal. Malah ada yang bimbang pemansuhan itu menyebabkan pesalah yang sudah dihukum mati kerana membunuh sebelum ini akan terlepas daripada tali gantung.

BERITA BERKAITAN Mansuh hukuman mati mandatori tak jejas tugas polis

Dalam situasi inilah orang ramai mesti benar-benar faham terhadap pindaan yang dicadangkan oleh kerajaan. Pemansuhan hukuman mati mandatori tidak menghapuskan hukuman mati. Ia masih tetap ada dan dilaksanakan menurut budi bicara mahkamah.

Cuma selama ini hukuman mati mandatori ‘mengikat’ tangan mahkamah bagi kes-kes tertentu, misalnya mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, juga kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan.

Jika sabit kesalahan, undang-undang menetapkan hanya satu hukuman, iaitu mati mandatori. Hakim tidak ada pilihan selain menjatuhkan hukuman tersebut apabila yang dituduh didapati bersalah.

Dengan pindaan yang dicadang, hakim boleh menggunakan budi bicara apabila menjatuhkan hukuman. Dia boleh menjatuhkan hukuman mati, penjara seumur hidup dan sebatan atau hukuman yang dirasakan setimpal dengan berat kesalahan yang dilakukan.

Sekadar rekod, kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Culik 1960 juga boleh membawa kepada hukuman mati. Juga melancarkan perang terhadap Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dan pengkhianatan (treason).

Secara umum, kebanyakan kes yang dijatuhi mahkamah mati mandatori ialah berkaitan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Memetik mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, sehingga Ogos 2020 terdapat 1,324 banduan yang telah dijatuhi hukuman mati.

Daripada jumlah banduan akhir tersebut, sejumlah 918 adalah pesalah menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sejumlah 374 di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan. Selain itu 16 orang di bawah Akta Senjata Api 1971 dan dua di bawah Seksyen 396 Kanun Kesiksaan.

Hukuman mati mandatori bagi kes dadah dikuatkuasa pada 1983 dalam usaha memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang dianggap sebagai musuh nombor satu negara. Ia memperlihatkan komitmen bersungguh-sungguh kerajaan untuk menangani masalah dadah yang boleh menghancurkan negara.

Namun ada pihak yang mempertikai keberkesanan hukuman ini atas alasan sehingga kini kes dadah masih berleluasa. Kerana itu mereka berpendapat memang sesuai dikaji semula hukuman mati mandatori.

Namun untuk berlaku adil, perkara ini sebenarnya subjektif. Apa pun jenis kesalahan, dan apa pun jenis hukuman dikenakan, tentu sukar sekali mencegah secara tuntas perlakuan jenayah. Mungkin jika tanpa hukuman mandatori, kes dadah kini semakin serius.

Sehubungan cadangan pindaan hukuman mati mandatori, terdapat gesaan agar apabila dikuatkuasakan kelak ia dikebelakangkan atau backdated. Ertinya hukuman mati mandatori yang dikenakan sebelum ini terhadap pesalah wajar diubah, misalnya kepada hukuman penjara.

Namun terpulang kepada kerajaan memutuskan samaada hukuman mati bukan mandatori hanya berkuatkuasa terhadap kes selepas pindaan diluluskan, atau boleh terpakai kepada kes yang telah selesai dibicara dan hukuman dijatuhkan.

Begitu juga dengan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan. Haruskah hukuman mandatori diganti dengan hukuman alternatif? Atau adakah terus mengekalkan konsep ‘nyawa balas nyawa’? Aspek ini juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Namun sekali lagi ditegaskan, hukuman mati tidak terhapus dengan dengan pemansuhan hukuman mati mandatori. Hukuman mati masih boleh dijatuhkan kepada pesalah menurut budi bicara hakim berdasar bentuk kesalahan. Biarlah mahkamah membuat penentuan saksama tanpa tangan ‘terikat’. Kita perlu meyakini sistem keadilan negara.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram