MEMILIKI badan kurus dengan pinggang ramping adalah idaman para wanita. Nak pinggang yang kurus bak kerengga? Anda mungkin boleh ikut cara wanita ini.

Cathie Jung, wanita berasal dari Manteo, Callifornia Utara, Amerika Syarikat ini memiliki pinggang yang sangat kecil iaitu hanya berukuran 15 inci.

Wanita yang sudah berstatus nenek ini tidak melakukan sebarang pembedahan, sebaliknya dia hanya mengamalkan memakai korset sejak lebih 30 tahun yang lalu untuk mendapatkan pinggang sekecil ini.

Cathie Jung.

Cathie mula memakai korset pada tahun 1959, sebelum dia berkahwin. Pemakaian korset begitu popular pada zaman itu. Kaum wanita ketika itu amat mementingkan saiz pinggang. Sesiapa yang punyai potongan saiz pinggang kecil seperti bentuk jam pasir akan dikagumi dan dianggap cantik.

Apabila mendapati saiz pinggangnya mengecil selepas memakai korsert daripada saiz 26” kepada 24”inci pada hari perkahwinannya, Cathie tekad mahu meneruskan pemakaian korset.

Daripada beberapa jam, wanita ini mula memakai korset 23 jam sehari sejak tahun 1993. Cathie hanya menanggalkan korsetnya ketika hendak mandi sahaja. Baginya, lagi ketat jerutan korset yang dipakainya itu lagi bagus untuk mengecilkan pinggangnya. Walaupun awalnya rasa terseksa, dia tetap mengenakan korset walaupun ketika tidur pada waktu malam.

Walaupun selera makannya tinggi, tetapi jerutan korset ini membuat Cathie hanya mampu makan dalam jumlah sedikit. Di saat usianya bergelar nenek, Cathie masih kekal ramping dengan potongan badan bersaiz 39-15-39. Malah, Guinness Book of Records turut merekodkan wanita ini sebagai pemilik pinggang terkecil di dunia pada tahun 1999.

Pinggang Cathie bersaiz 15 inci.

Pun begitu, tidak semua orang senang dengan penampilan Cathie yang kelihatan aneh. Tak kurang juga yang menggelarnya sebagai ‘kartun’. Ada juga yang menjerit ketakutan apabila melihatnya berjalan di khalayak ramai kerana bimbang jika pinggangnya yang kecil itu patah atau tubuhnya terputus dua.

Apa pun pandangan orang luar, suami wanita ini yang bernama Bob tetap menganggap isterinya seorang wanita yang cantik dan unik.

Bob yang merupakan seorang pakar bedah ortopedik juga pernah melakukan ujian X-Ray pada tubuh isterinya dan mendapati semua organnya berada dalam keadaan baik walaupun dia telah berusia lebih 70 tahun (sewaktu ujian dijalankan).

Bob, suami Cathie membantu isterinya memakai korset.

Walaupun kurus dan ramping, tetapi saiz pinggang yang terlalu kecil ini juga membuatkan Cathie terpaksa berhati-hati ketika hendak duduk. Dia tidak boleh duduk di kerusi yang berkaki rendah kerana keadaan kerusi itu akan menekan pinggangnya.

Namun begitu, perkara itu bukan halangan untuk Cathie menikmati hidupnya. Dia masih mampu melakukan kerja rumah dan melahirkan tiga orang anak.

Selain Cathie, seorang lagi wanita bernama Ethel Granger (1905-1982) dari United Kingdom juga pernah dinobatkan sebagai manusia yang mempunyai pinggang paling kecil di dunia. Sewaktu hayatnya, Ethel merekodkan pinggangnya hanya bersaiz 13 inci dengan amalan memakai korset sejak berusia 23 tahun.

Ethel Granger, wanita yang pernah direkodkan mempunyai pinggang terkecil bersai 13 inci.

Selain itu, dua tahun lalu, seorang wanita dari Myanmar bernama Su Naing mendakwa dia memiliki pinggang terkecil dengan ukuran 13.7 inci. Wanita berusia 25 tahun ini mendakwa dia mendapat saiz pinggang itu dengan menjaga pemakanan dan senaman, bukan melalui amalan pemakaian korset.

Su Naing dikatakan telah membuat permohonan kepada Guinness World Record agar mengiktiraf dirinya sebagai pemilik pinggang terkecil tanpa pembedahan.

Su Naing, wanita dari Myanmar yang mendakwa memiliki pinggang kecil tanpa korset atau pembedahan.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com