Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan mengadakan sidang media ketika hadir ke Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-66 Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

INDIVIDU yang didapati tidak menghormati Bahasa Kebangsaan pada masa hadapan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara melalui pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959.

Pengerusi Jemaah Pengelola DBP Professor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata kedua-dua hukuman adalah antara yang dicadangkan untuk pindaan akta itu yang kini dalam fasa akhir perbincangan sebelum dijangka dibentang kepada Perdana Menteri bulan depan.

“Ia bukan soal salah tatabahasa atau ejaan tetapi tidak hormati Bahasa Kebangsaan. Usul denda ini bukan untuk menghukum, ia dicadang untuk membangkitkan kecintaan dan patriotisme kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Ulang Tahun ke-66 DBP di ibu negara hari ini.

Baca: Menanti undang-undang bahasa seperti Toubon Law di Perancis, ada taring dan menggigit

DBP diperkasa, diberi kuasa penguatkuasaan bahasa – PM

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr Radzi Md Jidin (dua dari kiri) bersama Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan (kiri) tertarik melihat portal jendela DBP ketika hadir ke Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-66 Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Sebelum ini, dilaporkan kerajaan akan meminda akta itu bagi membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran Bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.

Awang berkata DBP turut mencadangkan agar Akta Bahasa Kebangsaan di bawah selian Pejabat Perdana Menteri dipinda seiringan pindaan Akta DBP agar pihaknya dapat menjalankan tugas sebagai penguatkuasa bahasa dengan lebih berkesan.

“Bukan sahaja Akta DBP perlu dipinda tetapi pindaan Akta Bahasa Kerajaan juga perlu dilakukan kerana itu induknya. Kalau akta itu diperluas, bolehlah kerajaan meminta DBP melaksanakan dasar bahasa secara lebih jelas,” katanya.

Mengenai pindaan itu, beliau berkata ia harus dilaksana secara holistik bukan sekadar bidang kuasa penguatkuasaan tetapi juga harus melihat aspek perantarabangsaan, pentauliahan dan pelesenan bahasa sastera.

— BERNAMA