kelebihan melawat orang sakit
Besar ganjaran bagi mereka yang melawat orang yang sedang sakit

Hari ini apabila mendengar sahaja ada kematian, ramai berpusu-pusu datang menziarahi arwah. Namun ketika hayatnya ada lagi, ramai yang buat tidak ambil peduli. Walhal, keutamaan menziarahi orang sakit adalah lebih tinggi berbanding menziarahi orang mati.

Itulah silapnya masyarakat kita pada hari ini, menziarahi orang sakit seolah di pandang enteng walaupun terkandung di dalamnya beribu kebaikan. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,

“Hak seorang Muslim atas Muslim lainnya ada lima, menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantar jenazah, memenuhi undangan dan mendoakan yang bersin.”

Justeru, hak seperti itu sepatutnya dipenuhi demi menjaga hak sesama muslim. Ini kerana, setiap daripada anak Adam perlu meyakini bahawa setiap daripada perintah Allah mengandungi hikmah tertentu. Jika perkara itu sangat digalakkan, hikmahnya sangat bagus bukan sahaja beroleh pahala, tetapi juga hikmahnya untuk sesama muslim.

Masyarakat pada hari ini sepatutnya membudayakan kembali menziarahi orang sakit seperti yang diamalkan oleh nenek moyang terdahulu. Suasana harmoni melawat orang sakit dengan membawa makanan, meskipun sekilo gula dan jika tidak membawa apa-apa, pasti wang akan diberikan kepada pesakit tersebut sebagai modal untuk berubat walaupun nilainya hanya RM10 ringgit.

Itulah yang diterapkan oleh masyarakat terdahulu dalam bab menjaga hubungan sesama manusia dan meringankan beban masyarakat. Namun sedih, generasi hari ini semakin melupakan aktiviti ini dek kerana kesibukan bekerja dan sebagainya.

Bagi membincangkan dengan lebih lanjut tentang kelebihan menziarahi orang sakit, Pensyarah Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadawi berkata, keutamaan menjenguk orang sakit itu lebih tinggi berbanding melawat orang mati kerana melibatkan hikmah yang tersembunyi. Malah, melawat orang sakit juga telah dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah sehingga diberikan syurga.

Ini bersandarkan hadis Nabi s.a.w.

“Sesiapa yang menziarahi orang yang sakit atau menziarahi saudara seagama kerana Allah maka malaikat akan berkata kepadanya, beruntunglah kamu dan beruntunglah urusanmu dan (ketahuilah) bahawa kamu telah menempah syurga sebagai tempat tinggalmu.” (Riwayat Imam al-Tirmizi dan Ibn Majah).

Dalam hadis lain pula diriwayat dari imam Muslim,

“Barang siapa menjenguk orang sakit, maka sebenarnya dia sedang berada di pelataran taman syurga.” Ditanyakan: “Wahai Rasulullah, apa itu maksudnya?” Baginda menjawab, “Dia senang memetik (buahnya).”

Diberi syurga! Itulah yang dijanjikan oleh Nabi kita. Lantas apa lagi yang diingini oleh seorang Muslim melainkan impian terbesar ialah menjadi penghuni syurga. Sungguh rugi bagi sesiapa yang tidak mahu melawat taman syurga meskipun masih berada di dunia dan menghirup udara segar di bumi ini. Bayangkan, itu ganjaran yang akan diberikan Allah apabila melawat orang sakit. Jika semua sedar akan hakikat ini, mesti tiada orang sakit bersendirian lagi.

Para malaikat akan mendoakan rahmat kepada orang yang menziarahi orang sakit

Bukan setakat itu sahaja, Dr. A. Irwan Santeri turut memberitahu bagi mereka yang meluangkan masa untuk melawat orang sakit, para malaikat akan mendoakan kebaikan mereka dalam lingkungan masa tertentu. Dalam sebuah hadis sabda Rasulullah s.a.w daripada Ali r.a.

“Tiada seorang pun yang menziarahi saudara seislamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat hingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila lagi.” (HR Tirmizi).

Setiap perintah Allah dan Rasulullah s.a.w. adalah mengandungi hikmah tertentu. Menziarahi orang sakit adalah keutamaan terhadap menginsafi diri serta menjaga hubungan sesama komuniti. Kelebihan menziarahi orang sakit lebih disebabkan hikmahnya dapat menjaga hubungan dengan pesakit dan keluarga pesakit tersebut. Namun, jika melawat orang mati, hubungan yang terjalin hanya dengan keluarga si mati sahaja.

Dr. A. Irwan Santeri juga menegaskan, ziarah ini bukan sahaja mendapat ganjaran daripada Allah agar senang di akhirat kelak, namun turut memberikan kesan yang baik daripada sudut psikologi. Dengan menziarahi orang sakit, pesakit akan merasa lebih bersemangat dan merasakan ramai orang yang mengambil berat akan dirinya.

Justeru, mungkin pesakit lebih bersemangat untuk pulih daripada penyakit yang melanda dirinya. Apatah lagi jika pelawat tersebut menyebut perkara yang baik-baik dan mendoakan akan kesihatannya pada saat itu. Wallahu a’lam

__________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare