Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa. GAMBAR: Abd Razak Aid

SATELIT MEASAT-3d akan dapat merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, Satelit MEASAT-3d akan mengembangkan liputan Internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai sambungan supaya mencapai 100 peratus kesalinghubungan Internet, sekali gus membolehkan rakyat menikmati kemudahan Internet dengan lebih baik.

“Dengan akses Internet yang stabil dan pantas, Keluarga Malaysia boleh memperoleh pelbagai manfaat sosioekonomi seperti penyertaan dalam aktiviti e-Dagang dan pembelajaran digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia melalui syarikat MEASAT bakal melancarkan Satelit MEASAT-3d di French Guiana, Amerika Selatan pada pukul 6.03 petang 22 Jun (pukul 5.03 pagi 23 Jun waktu di Malaysia).

Satelit MEASAT-3d merupakan satelit kelapan yang akan dilancarkan bertujuan meningkatkan perkhidmatan perhubungan kepada Malaysia dan negara-negara serantau.

Menurut Annuar, dengan pelancaran satelit itu, Malaysia juga dapat memperkukuhkan kehadirannya dalam era digital berteraskan kepada teknologi talian tetap, mudah alih dan satelit tanpa meminggirkan mana-mana kelompok rakyat di negara ini.

Katanya, Malaysia beraspirasi menjadi sebuah negara berteknologi tinggi dan ini terbukti dengan pelancaran tujuh satelit sejak satelit pertama, MEASAT 1 dilancarkan pada 1996 yang merangkumi satelit komunikasi yang menawarkan perkhidmatan penyiaran dan telekomunikasi, satelit penderiaan jauh serta aplikasi satelit-satelit lain melibatkan sektor penyelidikan dan pembangunan industri teknologi angkasa.

Jelas beliau, dengan pelancaran MEASAT-3d, beberapa perkhidmatan baharu melalui satelit berkenaan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos 2022.

Menurutnya, penyedia perkhidmatan telekomunikasi lain juga boleh menggunakan satelit berkenaan untuk menawarkan perkhidmatan data, suara dan video kepada tiga hingga lima peratus populasi yang belum lagi diliputi oleh sambungan fiber atau jalur lebar tanpa wayar seperti yang ditawarkan MEASAT melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW.

Beliau berkata satelit MEASAT-3d yang merupakan jenis Geostationary Equatorial Orbit atau GEO mempunyai tapak liputan yang luas dan berkemampuan untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang pantas dan menyokong aliran tinggi data dikenali sebagai High Throughput Satellite (HTS).

Katanya HTS adalah antara perkhidmatan penting dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar tinggi terutamanya di kawasan pedalaman.

Baca: Liputan 4G di Sabah capai 86.9 peratus kawasan berpenduduk – Annuar

“Internet kelajuan tinggi akan ditambah baik daripada kelajuan muat turun 30 Mbps pada masa ini kepada 100 Mbps, yang membolehkan penstriman kandungan tinggi data seperti video 4K/8K,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan, Satelit MEASAT-3d yang akan dilancar Khamis ini bakal menambah baik dengan ketara perkhidmatan Internet dan kadar ketersambungan capaian Internet terutamanya di kawasan luar bandar.

Ketua Pegawai Operasi MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd (MEASAT) Yau Chyong Lim berkata perkara itu membolehkan pihaknya mewujudkan masyarakat inklusif digital dan menyokong aplikasi jalur lebar berkelajuan tinggi antaranya Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Internet Kebendaan (IoT) dan teleperubatan.

“Menerusi MEASAT-3d dan perkhidmatan CONNECTme NOW, kami menyasarkan untuk mengisi kelompangan jalur lebar di lokasi-lokasi yang tidak mempunyai liputan mudah alih 4G, 5G atau fiber di Malaysia bagi menyediakan akses Internet kepada populasi yang terpinggir,” katanya kepada Bernama.

Yau berkata MEASAT-3d akan dilancarkan dari European Spaceport di Kourou, French Guiana yang terletak di Amerika Selatan dan kerajaan Malaysia akan diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek.

Bersempena pelancaran itu, beliau memaklumkan satu majlis istimewa akan dianjurkan di ibu negara bagi membolehkan para jemputan menonton pelancaran itu secara  langsung dan ia dijangka dihadiri tetamu kehormat termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

— BERNAMA