HANYA sekadar suka-suka memuat naik video menari di TikTok, namun lain pula ceritanya apabila wujud segelintir warganet yang bermulut jahat mengejek rambut anak perempuan kepada pelakon Sharifah Sakinah iaitu Anais Adha.

Lebih perit lagi, terdapat komen negatif yang menyamakan rambut anak pelakon berusia 33 tahun itu dengan ‘mi’.

“Terkejut aku tolong lah ikat rambut anak tu kejap.

“Rasanya mi itu sudah masak,” ejek segelintir netizen berkenaan rambut anak Sakinah.

Menjengah ke ruangan komen video tersebut, rata-rata warganet membidas komen-komen negatif dan memuji kecantikan rambut anak pelakon drama Girlfriend Aku Dari Neraka itu.

“Yang komen pasal rambut anak tu, berhenti la shaming anak orang, ingat kifarah tu wujud.

“Weh, korang komen rambut anak dia. Tapi aku suka kalau rambut budak macam ini bagi aku comel.

“Jangan laa kutuk anak dia, tak baik korang. Budak tu sempurna, tiada salah.

“Ingatkan rambut anak dia curl biasa je. Ini luar biasa macam rambut anak omputih!! ” puji netizen di ruangan komen.

Anais Adha, 5, merupakan cahaya mata hasil perkahwinan Sakinah dengan bekas suaminya Alif Adha pada 2015 namun mereka disahkan bercerai pada Mei 2020.

Kini, Sakinah bahagia di sisi suami keduanya Michael Hansen yang berasal dari Sweden setelah mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.