Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersama tiga lagi beregu negara memburu slot ke separuh akhir Terbuka Malaysia. /Gambar FB Badminton Association of Thailand.

BEREGU badminton lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyasarkan untuk meraih kejuaraan pertama di kejohanan antarabangsa pada Terbuka Malaysia 2022 yang akan berlangsung di Axiata Arena di Bukit Jalil dari 28 Jun hingga 3 Julai ini.

Pasangan ranking keenam dunia itu yang menamatkan kemarau 16 tahun Malaysia merangkul pingat emas beregu lelaki pada Sukan SEA 2019 di Filipina, kini rancak mengatur strategi terbaik bagi merealisasikan impian itu di hadapan penyokong sendiri.

“Sebenarnya setiap kejohanan kita rasa ini kalilah (juara) tetapi berkali-kali tak sampai lagi. Kita tetap akan cuba…bukan senang mahu menang tetapi itulah kita kena tempuh secara berperingkat,” kata Aaron kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara di sini, semalam.

Beraksi di laman sendiri, pemain berusia 25 tahun itu berkata mereka mengharapkan sokongan daripada peminat badminton tanah air untuk dijadikan motivasi bagi menampilkan persembahan cemerlang di kejohanan tersebut.

Malah, Aaron mengakui teruja untuk membuat penampilan di Terbuka Malaysia selepas dua tahun kejohanan berprestij itu tidak dipertandingkan susulan penularan pandemik COVID-19.

Baca artikel berkaitan: Piala Thomas: Aaron Chia selesa jalankan peranan ketua pasukan

“Saya harap peminat terus menyokong kami dan berharap kita boleh buat yang terbaik di Terbuka Malaysia supaya tidak menghampakan peminat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersama Wooi Yik berharap dapat menebus kekalahan lepas di pusingan kedua Terbuka Denmark tahun lepas di tangan gandingan Akira Koga-Taichi Saito dari Jepun, pada pusingan pertama Terbuka Malaysia.

Menurutnya, mereka akan kekal fokus dan mendengar nasihat yang diberikan Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky dalam mencapai prestasi terbaik.

“Jurulatih Rexy memang kata kita kena lebih ‘hunger’ untuk menang setiap perlawanan sebab ia jelas nampak bila kami sudah di separuh akhir atau di final, mungkin kita terlalu fikir banyak jadi kurang fokus pada perlawanan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata mereka masih dalam proses pemulihan akibat keracunan makanan ketika menyertai Kejohanan Masters Indonesia, minggu lepas.

Sabtu lepas, Aaron-Wooi Yik tewas pada separuh akhir Terbuka Indonesia di tangan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-18, 21-13.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram