Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) GAMBAR: Abd Razak Aid

DUDUK lokap tapi boleh dapat makanan, rokok bahkan dahsyat lagi dadah.

Cerita ini bukan baharu, malah berdasar laporan media, sudah ada pun diambil tindakan kerana ‘membekalkan’ bahan terlarang kepada penghuni lokap.

Terbaharu, empat anggota polis yang bertugas di sebuah balai di Alor Gajah disiasat atas dakwaan menerima upah sebagai orang tengah membekalkan bahan terlarang kepada tahanan lokap.

Kesemua anggota yang berpangkat Lans Koperal dan Koperal itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.

Mereka yang berumur antara 35 dan 40 tahun itu juga direman tujuh hari di Mahkamah Ayer Keroh bermula hari ini.

Perintah reman ke atas kesemua tertuduh dikeluarkan Majistret Mazana Sinin.

Menurut laporan Bernama, kesemua anggota tersebut didakwa membawa masuk bekalan bahan terlarang seperti dadah, tembakau dan makanan kepada tahanan lokap di balai mereka bertugas.

Baca: Tujuh pegawai ditahan SPRM, Imigresen beri kerjasama penuh

Mereka dikatakan menerima upah antara RM600 hingga RM9,000 menerusi kira-kira 20 transaksi sepanjang 2019 hingga 2020 sama ada secara dalam talian atau tunai.

Kesemua suspek ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka petang semalam.

Terdahulu mereka tiba di pekarangan mahkamah pada kira-kira pukul 9.30 pagi dengan memakai baju tahanan lokap SPRM berwarna jingga.

Dalam pada itu Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan siasatan lanjut sedang dilakukan.