PADA 14 Disember 2012, lebih kurang pukul 9.30 pagi, seorang lelaki masuk ke dalam sekolah rendah Sandy Hook di Connecticut, Amerika Syarikat. Lelaki itu melepaskan tembakan rambang ke dalam sekolah.

Insiden itu meragut nyawa 20 orang kanak-kanak dan enam orang guru. Sebelum kejadian, pemuda itu telah menembak mati ibunya sendiri di rumahnya, tidak jauh dari sekolah tersebut. Ibu pemuda itu merupakan salah seorang guru di sekolah tersebut.

Lelaki itu ditemui pihak berkuasa telah membunuh diri selepas dia melakukan tembakan rawang.

Logan Dryer, kanak-kanak berusia enam tahun merupakan salah seorang pelajar di sekolah itu. Dua minggu sebelum tragedi itu berlaku, Logan sering diserang rasa panik secara tiba-tiba sewaktu berada di sekolah. Dia akan menjerit, “Tidak! Tidak! Di sini bukan tempat selamat. Saya takut!”

Bila dibawa menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan Logan sihat. Namun kerana risau melihat keadaan anaknya yang kurang sihat dan enggan ke sekolah, Logan diberi cuti seminggu sebelum kejadian buruk itu berlaku.

Sewaktu kawan-kawan sekolah datang melawatnya di rumah, Logan tidak gembira. Dia memberitahu ibunya, dia sedih kerana berasakan ada sesuatu yang buruk akan menimpa kawan-kawannya.

Akhirnya, seminggu kemudian, apa yang ditakuti Logan benar-benar terjadi. Logan selamat kerana firasatnya. Namun, guru dan rakan-rakannya ramai terkorban.

Logan terselamat dalam insiden tembakan sekolah.

PADA 25 MEI 1979, pesawat American Airlines Flight 191 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare di Chicago, Amerika, menuju ke Los Angeles.

Namun, beberapa saat pesawat naik ke udara, tiba-tiba pesawat menjadi senget dan hilang keseimbangan. Sekelip mata, pesawat itu jatuh terhempas dan terbakar. Semua penumpang seramai 258 orang berserta 13 petugas terkorban, termasuk dua orang yang berada berdekatan kawasan itu semasa pesawat jatuh.

David Booth, antara lelaki yang menyaksikan insiden nahas itu di kaca TV rumahnya. Ketika itu dia berkata, “Inilah tragedi dalam mimpinya!”

Sepuluh hari sebelum nahas berlaku, setiap malam David didatangi mimpi aneh. Dia melihat sebuah kapal terbang yang baru berlepas jatuh terhempas dan kemudian terbakar.

Mimpi itu berulang kali dialaminya. Kerana risau, David menghubungi pentadbiran Persekutuan Penerbangan Amerika, memberitahu perihal mimpinya itu. Ternyata, mereka mengambil kira mimpi tersebut.

Tetapi, David gagal memberi maklumat lebih lanjut tentang insiden dalam mimpi itu seperti lokasi dan jenis pesawatnya. Ini menyukarkan siasatan untuk menjangka pesawat mana yang berkemungkinan akan mendapat nahas seperti digambarkan mimpi David.

Pada hari ke-10 David mengalami mimpi itu, itulah hari di mana nahas tersebut berlaku. Dan selepas pesawat itu terhempas, David tidak lagi didatangi mimpi yang sama. Bagaimana mimpi David itu boleh mentafsir insiden yang belum berlaku kekal misteri.

Juga pada hari kejadian, Lindsey Wagner sudah tiba di lapangan terbang untuk menaiki penerbangan tersebut. Lindsey adalah seorang pelakon yang popular dengan siri The Bionic Woman sekitar penghujung tahun 80-an dahulu.

Semasa menunggu panggilan untuk masuk, tiba-tiba Lindsey berasa sakit. Semakin dekat masa penerbangan, semakin dia pening dan loya. Akhirnya, Lindsey membatalkan rancangannya untuk menaiki penerbangan tersebut.

Lindsey meninggalkan lapangan terbang dengan niat untuk mendapatkan rawatan. Anehnya, sebaik saja dia keluar dari kawasan itu, sakitnya hilang dan dia berasa sihat kembali. Pelik, tapi itulah yang menyelamatkan nyawa Lindsey dari turut sama terkorban dalam nahas pesawat itu.

David mengalami mimpi sama berulang kali tentang sebuah pesawat yang akan terhempas.

BARRET NAYLOR adalah seorang eksekutif kewangan di Wall Street yang pejabatnya terletak di World Trade Center (WTC), New York.

Pagi 26 Februari 1993, seperti biasa Barret menaiki tren untuk ke tempat kerja. Ketika itu, dia berasa tidak sedap hati. Barret berasa seperti ada perkara buruk akan berlaku, apatah lagi malam tadi dia mengalami mimpi buruk.

Bila sampai di hentian yang dituju, Barret mengambil keputusan untuk berpatah pulang ke rumah. Hatinya tidak tenang. Hari itu, Barret menyaksikan berita di TV rumahnya tentang pengeboman WTC.

Bom diledakkan di bawah menara utara WTC. Tujuannya untuk menumbangkan menara utara agar menghempap menara selatan sehingga kedua-duanya runtuh. Namun percubaan itu gagal. Pun begitu, kejadian itu meragut enam nyawa dan beribu-ribu orang cedera. Mujurlah Barret tidak datang bekerja hari itu.

Lapan tahun kemudian pada tarikh 11 September 2001, perasaan yang sama dirasai Barret. Dia sudah sedia untuk pergi bekerja, namun berubah mengambil cuti pada tarikh itu kerana berasa tidak tenang dan pada firasatnya, ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Barret juga mendapat mimpi buruk malam sebelumnya.

Entah kebetulan ataupun tidak, hari itu Barret terselamat kali kedua dan dia menyaksikan sendiri di kaca TV rumahnya tentang tragedi buruk apabila menara berkembar WTC tempatnya bekerja tumbang setelah dua pesawat menghentam kedua-dua menara yang menjadi mercu tanda kota New York itu.

Barret terselamat dua kali dalam tragedi membabitkan banguna WTC.

PADA 20 Oktober 1977, kumpulan rock Lynyrd Skynyrd menaiki pesawat dari selatan Carolina menuju ke Louisiana untuk mengadakan persembahan di daerah tersebut.

Tetapi, pesawat itu terhempas di kawasan hutan paya di Mississippi. Penyanyi utama dan gitaris, Ronnie Van Zant terkorban. Turut maut ialah gitaris Steve Gaines dan adiknya, Cassie Gaines yang juga anggota kumpulan tersebut. Pembantu pengurus kumpulan dan kedua-dua pilot pesawat juga maut.

Salah seorang ahli kumpulan itu, Jojo Billingsley terselamat daripada nahas tersebut kerana tidak menaiki penerbangan yang sama. Jojo yang ketika itu dalam proses pemulihan ketagihan dadah dan alkohol mengikut jadual akan membuat persembahan bersama band itu pada 23 Oktober.

Sehari sebelum nahas berlaku, Jojo mendapat mimpi melihat sebuah pesawat terhempas di kawasan hutan paya. Dia menelefon pengurus kumpulan dan menceritakan mimpinya itu.

Jojo turut mencadangkan agar penerbangan kumpulan itu pada hari tersebut dibatalkan, namun nasihatnya tidak diendahkan. Sebaliknya, mimpi itu hanya dianggap sebagai gurauan. Akhirnya, mimpi Jojo jadi kenyataan dan meragut nyawa kawan-kawannya.

Kumpulan Lynyrd Skynyrd terkoban apabila pesawat mereka terhempas.

ANNA WARD lahir di Scotland dan kemudian keluarganya berhijrah ke Amerika. Anna berkhidmat sebagai orang gaji di rumah keluarga kaya Cardeza di Philadelphia.

Pada April 1912, Cardeza memberitahu bahawa mereka sekeluarga termasuk Anna akan bertolak ke Amerika menaiki kapal mewah Titanic. Namun, Anna menolak untuk ikut kerana dia mendapat firasat buruk bahawa pelayaran sulung kapal itu tidak akan sampai ke destinasinya.

Meskipun keluarga Cardeza mentertawakannya dan meyakinkan bahawa Titanic adalah kapal paling moden dan tidak mungkin akan tenggelam, Anna tetap enggan untuk mengikut mereka, sehinggalah Cardeza meyakinkan mereka telah membeli suite paling mahal di atas kapal itu dan disertakan sekali dengan bot peribadi, barulah Anna setuju untuk sama-sama berlayar.

Firasat Anna jadi kenyataan. Titanic melanggar ketulan ais dan akhirnya karam. Namun, Anna dan keluarga Cardeza selamat apabila menaiki bot keselamatan yang disediakan.

Anna mempunyai firasat buruk tentang Titanic dan ia jadi kenyataan. Mujur dia selamat dalam tragedi itu.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.comFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare