Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. GAMBAR: Abd Razak Aid

SELEPAS Khairy Jamaluddin; Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anifah Aman, kini giliran Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan pernah menerima sumbangan politik atau wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Malah, Hishammuddin menegaskan tidak tahu-menahu mengenai apa yang disebutkan bekas pengarah UKSB yang juga saksi dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sembrong itu sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dipanggil membantu siasatan.

“Saya tidak mengetahui apa pun berkaitan perkara yang telah disebut di mahkamah baru-baru ini.

“Sekiranya mereka ingin memanggil saya bagi melakukan siasatan, seperti kebiasaan sebelum ini – saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Seorang saksi dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid melibatkan rasuah daripada UKSB memaklumkan terdapat beberapa nama lagi yang menerima wang daripada syarikat itu.

Baca artikel berkaitan: Selepas Muhyiddin, Khairy juga nafi terima wang dari UKSB

Antaranya Hishammuddin, Khairy, Muhyiddin dan Anifah.

Khairy tampil membuat penafian dalam sidang media semalam dengan Muhyiddin serta Anifah menyangkal dakwaan itu sebelum ini.

Ahli politik lain yang disebut-sebut sepanjang prosiding itu termasuk Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika lejar syarikat tersebut dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN), Jumaat lalu.

Sabtu lalu, SPRM memaklumkan akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang dikatakan menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

SPRM dalam kenyataan dilapor berkata, agensi itu juga mengesahkan sudah menerima beberapa aduan terhadap individu terbabit yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram