hukum ziarah orang sakit

Dalam sepotong hadis daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda Nabi “Sesungguhnya Allah berfirman pada hari kiamat, “Wahai anak Adam! Aku sakit mengapa engkau tidak menziarahiku.” Berkata seorang hamba, “Wahai Tuhan bagaimana aku boleh menziarahimu sedangkan Engkau merupakan Tuhan pentadbir seluruh alam.” Lalu Allah berfirman lagi, “Sesungguhnya hambaku yang bernama si Fulan sakit dan engkau tidak menziarahinya, ketahuilah sekiranya engkau menziarahinya nescaya engkau akan mendapati Ku di sisinya.” (Riwayat Muslim).

Menurut Dr. A. Irwan Santeri Doll Kawaid al-Nadawi, Pensyarah Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hadis ini bukan bermaksud Allah itu sedang sakit, kerana Allah Maha Besar terpelihara daripada sifat manusia seperti sakit.

Namun apa yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah terdapat pahala di sisi orang sakit. Ini kerana, pahala hanya daripada Allah, dan Dia yang berhak memberikan pahala kepada hamba Nya yang dikehendaki. Jadi, maksud Dia ada di sisi itu ialah pahala. Pada ketika itu, sesiapa yang berdoa turut akan dimakbulkan.

Orang yang lazim melawat orang sakit juga akan selalu berada di dalam rahmat dan kasih sayang Allah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad

“Sesiapa yang menziarahi saudaranya maka dia akan berada dalam nikmat kasih sayang Allah walaupun sesudah dia duduk.”

Itulah besarnya ganjaran bagi mereka yang suka menziarahi orang sakit. Tidak kira sakitnya sekadar demam biasa atau sakit kronik sehingga diberitakan doktor hayatnya mungkin dua bulan sahaja lagi. Pahala dan ganjarannya di sisi Allah adalah tetap sama. Tiada beza selagi niat untuk ziarah ikhlas kerana-Nya.

Ganjaran dan pahala ini juga tetap sama jika pesakit yang dilawati itu ialah orang bukan Islam. Islam amat menggalakkan umatnya berbuat baik kepada orang lain meskipun orang bukan Islam. Contohi akhlak Rasulullah s.a.w. yang sentiasa mendoakan musuh yang menyakitinya dan membenci agamanya dengan doa semoga Allah memberinya hidayah, bukan minta dilaknat.

Justeru, Dr. A. Irwan Santeri menegaskan, melawat orang bukan Islam juga sebagai cerminan sifat kemanusiaan yang terpuji.

Malah Rasulullah sebagai qudwah hasanah juga pernah melawat orang kafir yang jatuh sakit ketika di zamannya. Imam Bukhari meriwayatkan, daripada Anas r.a. menceritakan,

Harus menziarahi orang sakit walaupun dia belum Islam

“Seorang budak Yahudi yang berkhidmat dengan Rasulullah s.a.w. telah jatuh sakit. Nabi pun datang menziarahinya, dan duduk di sebelah kepalanya. Rasulullah berkata kepadanya, “Masuklah Islam.” Budak itu pun memandang kepada bapanya yang berada di sisinya. Kata bapanya, “Taatilah bapa Kassim (Rasulullah).” Mendengar kata bapanya itu, dia terus memperkenankan permintaan Rasulullah dan masuk Islam. Selepas itu, Rasulullah pun keluar, sambil berkata, “Syukur kepada Allah yang telah menyelamatkannya daripada api neraka.”

Jadi dalam hal ini Islam mengharuskan bagi umatnya menziarahi orang yang sakit sekalipun dia belum Islam dan mendoakan kebaikan baginya. Ingatlah, Islam agama yang membawa rahmat seluruh alam, jelas tidak pernah menyuruh penganutnya untuk saling membenci, meskipun kepada orang yang berbeza agama.

Islam menyemai sifat kasih sayang, dengan harapan dengan suburnya rasa itu, maka bertebaranlah insan-insan yang membela agama Allah sehingga orang kafir turut berminat kepada agama yang suci ini. Maka itu sentiasalah berbuat kebaikan kepada sesiapa sahaja waima yang belum Islam walaupun mereka sering kali melakukan keburukan kepada kita apatah lagi yang berbuat baik, lagilah perlu disantuni. Wallahu a’lam  

______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShareFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare