PRESIDEN kepada The Korea Singers Association, Lee Ja Yeon merayu kepada kumpulan pop Korea Selatan, BTS supaya mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk berehat. 

Menurut Lee, keputusan tersebut akan mengakibatkan kemunduran kepada gelombang Korea atau ‘Hallyu Wave’ dan mengakui ianya akan menjadi sukar untuk mencari kumpulan yang sama taraf seperti BTS pada masa akan datang.

“Saya dikuasai oleh ketakutan dan kebimbangan bahawa ‘BTS Hallyu Wave’, sebuah pergerakan yang memiliki kuasa lembut budaya terbesar yang pernah disaksikan dunia, akan lenyap tak lama lagi.

“Pada tahun-tahun sebelum kelahiran gerakan ini, ia dipercayai bahawa mencari ‘Next Beatles’ akan menjadi satu pencapaian yang sangat sukar. Walalaubagaimanapun, kami harus bersedia untuk mengharapkan ‘BTS seterusnya’ muncul dalam masa terdekat.

“Oleh itu, terdapat kebimbangan besar bahawa degupan jantung gelombang Korea (Hallyu) akan berhenti.

“Keputusan untuk menerbitkan kenyataan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Tolong, bolehkan anda semua mempertimbangkan semula keputusan untuk berehat secara berkumpulan, demi masa depan industri muzik Korea Selatan?,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Terdahulu, BTS mengumumkan bahawa mereka bakal berehat seketika untuk mengembangkann lagi bakat seni mereka secara solo selepas 10 tahun membina nama di pentas dunia hiburan.

Tambah Lee, keputusan untuk BTS berehat juga akan mengakibatkan terjejasnya industri pelancongan Korea Selatan.

“Jika BTS pergi, industri pelancongan Korea Selatan akan terjejas, dan sukar untuk mengharapkan masa depan Korea Selatan sebagai ‘hub’ kepada budaya Asia.

“Undang-undang khas yang diperuntukkan kepada sukan, industri muzik dan seni klasik untuk perkhidmatan ketenteraan wajib diperluaskan kepada budaya popular juga. Keperluan perhatian dan tindakan berhubung isu sedia ada ini adalah dalam keadaan terdesak.

“Kerajaan dan perhimpunan kebangsaan Korea Selatan mesti mengambil berat tentang perkara ini supaya ledakan gelombang Korea (Hallyu) dapat terus merebak, dan BTS boleh terus mempromosikan secara aktif sebagai satu kumpulan. Sila lakukan semakan undang-undang perkhidmatan tentera sedia ada,” ujarnya.

Untuk rekod, BTS telah memecahkan rekod di Billboard Music Awards dengan menjadi kumpulan yang paling banyak memenangi anugerah di pentas berprestij itu sejak kali pertama tercalon 2017 sehingga kini.