PELAKON Datuk Aaron Aziz berkongsi video lucu menunjukkan giginya yang patah semasa melakonkan babak aksi di set penggambaran.

Menurut pelakon berusia 46 tahun itu, tiada pihak yang perlu dipersalahkan dan ini adalah salah satu risiko yang perlu ditanggung apabila menjadi seorang pelakon.

“Stuntman tak sengaja jadi tiada siapa nak disalahkan. Sahaja je nak kongsi dekat korang muka buruk saya boleh. Tapi yang penting masih stylo!,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Menerusi perkongsian video di laman sosial Instagramnya, pelakon asal Singapura itu memberitahu insiden sebegini boleh berlaku kepada semua pelakon apatah lagi mereka yang melakonkan filem aksi.

“Nak jadi pelakon? Kalau nak jadi pelakon kena standby untuk buat gigi patah.

“Kata nak jadi pelakon aksi lagak ngeri (stunt action actor) jadi sekali sekala kena lah patah juga gigi” ujarnya dalam video sambil menunjukkan gigi hadapannya yang patah.

Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen terhibur melihat gelagat pelakon Ombak Rindu itu dan menyifatkan dia masih kelihatan kacak walaupun dalam keadaan gigi rongak.

“Tetap kacak (handsome) bang walaupun gigi rongak.

“Malek, Malek, Malek.. Siapa sebat gigi lu?

“Hahahaha tak apa pergi Dentist bagi cantikkan (touch up) balik Datuk. Tapi kelakar.

“Patah pun tetap kacak juga. Tapi susah nak tengok muka tu senyum,” ujar peminatnya di ruangan komen.

Dalam entri lain, Aaron telah berkunjung ke klinik gigi di Setia Alam bagi membaiki giginya yang patah.

Untuk rekod, Aaron berkahwin dengan Diyana Halik pada 2003 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Danish Anaqi, 17, Dwi Ariana, 15, dan Dahlia Arissa, 11.