Ashira dan suaminya, Bad Indigo ketika mengumumkan penceraian mereka di laman sosial, hari ini.

PENYANYI dan bekas peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), Ashira dan suaminya sah bercerai selepas mereka bersama-sama mengumumkannya di laman sosial Instagram.

Ashira dan Bad yang juga ahli kumpulan Indigo itu memberitahu bahawa penceraian mereka ini diputuskan atas persetujuan bersama.

“Kami sudah capai persetujuan bersama, jadi kami sah berpisah tapi tetapi berkawan. Kita memang nak berkawan sampai bila-bila,” ulasnya.

Dalam video yang berdurasi dua minit tujuh belas saat itu juga mereka menjelaskan faktor mereka adalah bukan disebabkan orang ketiga dan tidak ingin menghebohkan kepada umum.

“Saya sayang dia dan yang penting kami berpisah bukan disebabkan orang ketiga, keempat dan sebagainya.

“Biarlah sebabnya hanya dia, saya, keluarga dan Allah sahaja yang mengetahui,” jelas mereka lagi.

“Jadi sebenarnya sebab kami tak boleh ceritakan adalah kerana apa sahaja yang berlaku dalam perkahwinan adalah satu aib. Dosa sekiranya mendedahkan walaupun sekecil aib.

Kedua-dua penyanyi itu mengumumkan perkara ini di laman sosial adalah untuk memberitahu dan memperingati peminat dan netizen di luar sana supaya tidak bercakap buruk tentang kedua-dua belah pihak.

“Semoga tiada lagi pertanyaan mana Ashira, mana Bad? Minta semua jangan bercerita benda yang tidak betul fasal kami,” katanya.

Untuk rekod, Ashira telah mendirikan rumah tangga bersama Bad sejak 11 Mac tahun lalu.

Bad merupakan seorang bapa tunggal kepada dua cahaya mata iaitu Rayyan, 13, dan Rania, 12, sejak tahun 2010 manakala Ashira adalah ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki, Megat Shazril Haziq Hadi, 16.