Harimau Malaya berjaya menewaskan Bangladesh 4-1 untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023. GAMBAR: FAM

PENCAPAIAN manis layak secara merit ke Piala Asia 2023 dilakar skuad Harimau Malaya baru-baru ini menyaksikan ranking pasukan negara naik mendadak ke tempat 147 dunia.

Dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan Gon itu melonjak tujuh anak tangga dengan mengumpul 1,057.59 mata di kedudukan 147 dunia itu.

Skuad kebangsaan yang menampilkan aksi cemerlang dalam beberapa perlawanan persahabatan dan pusingan kelayakan Piala Asia mengatasi Kuwait dan Botswana di tangga ke-148 dan 149.

Sebelum ini, Malaysia menghuni tangga ke-154 dunia dengan memperoleh 1,035.06 mata.

Pasukan kebangsaan mencipta memori indah peminat bola sepak selepas menjadi antara lima pasukan tangga kedua terbaik dalam pusingan kelayakan terakhir ke Piala Asia 2023 itu.

Baca artikel berkaitan: Malaysia garang tewaskan Bangladesh 4 -1, layak ke Piala Asia 2023

Harimau Malaya mencipta kejutan mengatasi Turkmenistan 3-1 dalam perlawanan pertama, namun tunduk kepada Bahrain 2-1 dalam perlawanan kedua.

Bagaimanapun, aksi meyakinkan ditampilkan pemain membuatkan Malaysia menewaskan Bangladesh 4-1 untuk layak secara merit.

Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.

Malaysia berada di kedudukan ke-26 dalam kalangan negara Asia dan keempat di Asia Tenggara di belakang Vietnam (97); Thailand (111) dan Filipina (134).

Bagi kedudukan keseluruhan, juara Piala Dunia lima kali, Brazil kekal mendominasi ranking FIFA diikuti Belgium, Argentina, Perancis dan England di lima kedudukan teratas.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram