SELEBRITI antarabangsa Kim Jae-Joong akan ke Malaysia pada bulan September ini sebagai artis solo buat pertama kalinya.

Jae Joong bakal membuat konsert solonya yang dinamakan 2022 Kim Jae Joong Asia Tour Concert dan akan bertemu peminatnya di Malaysia pada 23 September di Plenary Hall, KLCC, Kuala Lumpur.

Terdahulu, konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada bulan Mac tahun ini namun terpaksa ditundakan akibat pandemik.

Penyanyi dan juga pelakon ini kali terakhir tampil membuat persembahan adalah pada 2010 bersama kumpulan JYJ.

Dia bakal menjadi artis Korea Selatan yang pertama melakukan persembahan di Malaysia sejak pandemik berlaku.

Artis berusia 36 tahun ini juga terkenal di Jepun setelah menampilkan diri dalam beberapa rancangan televisyen dan melakukan beberapa lawatan di negara tersebut.

Untuk rekod, Jae Joong juga terkenal dengan drama lakonannya dalam filem Protect The Boss dan Dr Jin.

Apa yang lebih menarik, dia juga telah mengeluarkan lagu berjudul Sixth Magnitude Star untuk drama Jepun berjudul Waru – Who Said That Working Isn’t Cool.

Tiket konsert 2022 Kim Jae Joong Asia Tour yang dianjurkan oleh iMe MY ini boleh didapati di www.ticketcharge.com.my bermula 24 Jun ini.

Tiket-tiket konsert dijual dengan harga bermula RM787, RM687, RM587, RM487 dan RM387, tidak termasuk RM4 sebagai bayaran proses.

Setiap transaksi terhad kepada maksimum enam tiket sahaja.