“Saya sangat berterima kasih dan saya akan berikan yang terbaik itu janji saya. Ia akan berbeza daripada persembahan yang sebelum ini dan malam itu saya nak lebih dekat dengan penonton.”

Demikian janji penyanyi tersohor negaram Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk persembahan ekslusifnya bersama penonton daripada kalangan B40 Ogos ini sempena Konsert Jiwa Prihatin Queen of The Night anjuran B De Paris.

Siti atau lebih mesra disapa Tokti meluahkan rasa terujanya untuk menyanyi dihadapan sekitar 450 penonton yang baginya istimewa setelah dua tahun tidak melakukannya akibat daripada pandemik Covid-19.

“Saya sangat seronok dan tak sangka sebab biasanya persembahan saya dihadiri golongan yang pelbagai latar belakang korporat sampailah peminat setia.

“Tapi kali ini dihadiri peminat istimewa mungkin ada sebelum ini yang belum pernah menonton persembahan saya depan mata mereka diberikan kesempatan. Terima kasih,” ujarnya.

Siti ditemui semasa sesi sidang media Konsert Jiwa Prihatin Queen of The Night anjuran B De Paris dekat Menara Berkembar Petronas, KLCC, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berkongsi secara ringkas kenangan bersama rakan artis tersayang Allahyarham Adibah Noor, Siti memberitahu dia mengidolakan penyanyi itu sejak dahulu lagi dan selesa bila bersama dengan beliau.

“Dia adalah salah satu yang saya idolakan juga dari segi ilmunya bermula selepas arwah memenangi pertandingan Suara Nescafe. Saya kagum sangat!

“Iklan saya bersama Pepsi dahulu dia yang membuat suara latar.

“Arwah seorang yang sangat rendah hati, baik dan sangat menyokong. Saya sebenarnya kagum dengan dia dan saya yang segan, tapi dia buat saya selesa sangat. Itulah kak Adibah,” luahnya.

Untuk rekod, Siti bakal menyanyikan 15 buah lagu dalam konsert yang akan berlangsung selama satu jam di Hotel Royal Chulan pada Ogos hadapan.

Sementara itu, ke semua tempat duduk telah habis dijual kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Yayasan Metamorphosis yang bakal dihadiri oleh tetamu dalam kalangan B40.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Metamorphosis, Razalif Mohamad Zain, memberitahu mereka telah membeli kesemua tempat untuk dihadiahkan kepada peminat Siti daripada golongan B40 namun masih ada baki tiga atau empat meja yang telah disediakan khas untuk Siti Zoners dan media.

Tambahnya lagi, ia turut dihadiri oleh sultanah-sultanah pembesar tempatan bagi memeriahkan lagi malam Queen of The Night bersama Siti itu.