Fairuz (dua dari kiri) beramah mesra dengan kumpulan pertama pekerja ladang baharu seramai 37 orang dari Indonesia.

KULIM (Malaysia) Berhad telah menerima kehadiran kumpulan pertama pekerja asing pasca-pandemik untuk ditugaskan di ladang milik syarikat pengeluar minyak sawit itu.

Kulim dalam kenyataan memaklumkan, kumpulan pertama pekerja ladang itu adalah seramai 37 orang dari Lombok, Indonesia.

Menurut Kulim, kumpulan pekerja ladang itu telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat AirAsia pada pukul 6.15 petang semalam.

Ketibaan kesemua pekerja itu disambut Ketua Pegawai Operasi Kulim, Fairuz Ismail dan Ketua Bahagian Perladangan, Mohamad Yami Bakar.

Kesemua 37 pekerja ladang itu kemudiannya dibawa ke Kulim Eco-Trail Retreat bagi mengikuti program induksi.

“Kami mengalu-alukan kumpulan pertama pekerja ladang ke Kulim.

Baca artikel berkaitan: Siasat ejen luar guna jalan pintas ‘curi’ pekerja asing

“Selepas dua tahun pandemik, kita kini boleh mengharapkan lebih ramai pekerja tiba dengan mematuhi proses dan prosedur yang ketat,” kata Fairuz.

Kumpulan itu turut bertemu Konsul Tenaga Kerja, Konsulat Jeneral Republik Indonesia, Johor Bahru, Farisa Rahmadhani yang menjadi tetamu kehormat program induksi.

Bulan lalu, media melaporkan Indonesia melarang kira-kira 150 pekerja negaranya daripada terbang ke Malaysia ekoran tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Kebanyakan pekerja juga tidak mempunyai visa pekerja yang betul.

Kehadiran kumpulan pertama pekerja itu sekali gus bakal membuka jalan kepada lebih ramai pekerja memasuki negara ini dan membantu mengurangkan masalah kekurangan pekerja terutama dalam sektor perladangan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram