Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad. GAMBAR: Abd Razak Aid

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan laporan mendakwa beliau mendesak Malaysia untuk menuntut semula Singapura dan Kepulauan Riau sebagai tidak tepat dan di luar konteks.

Pada masa sama, Dr. Mahathir turut menafikan mendesak Malaysia untuk menuntut semula Singapura dan Kepulauan Riau.

Sebaliknya, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu memaklumkan, beliau hanya menyatakan tentang kebimbangan rakyat mengenai ‘kehilangan’ wilayah yang saiznya kecil.

“Saya cuba membangkitkan bahawa kita begitu bimbang dengan kehilangan batu sebesar meja tetapi tidak pernah (bimbang) mengenai bahagian lebih besar di Malaysia apabila ia diambil daripada kita.

“Kehilangan Pulau Batu Puteh bukan masalah besar. Ia adalah kesilapan kerajaan Johor menafikan bahawa batu itu adalah milik Johor.

“Sekiranya penafian itu tidak dibuat, tidak akan ada pertikaian sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Ahli dan pemimpin sendiri pun tak kenal Pejuang, kata Mahathir

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana mahkamah dunia menganugerahkan Pulau Ligitan dan Sipadan kepada negara ini.

“Ia jauh lebih berharga daripada Pulau Batu Puteh yang hanya singkapan batu.

“Kita patut bersyukur kerana Indonesia tidak mempertikaikan anugerah tersebut,” jelas beliau.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik Dr. Mahathir ketika berucap dalam sebuah kongres Ahad lalu melaporkan bukan hanya Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh sahaja harus dikembalikan, sebaliknya mencadangkan supaya Malaysia menuntut semula Kepulauan Riau dan Singapura.

Menurut laporan itu, Dr. Mahathir menegaskan ia kerana Kepulauan Riau dan Singapura adalah ‘Tanah Melayu’ berdasarkan sejarah.

Dakwaan itu kemudiannya disusuli kenyataan Kementerian Luar Indonesia yang menyifatkan Dr. Mahathir tidak mempunyai asas undang-undang.

Jurucakap kementerian itu, Teuku Faizasyah seperti dilaporkan portal berita Indonesia, Kompas berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu juga tidak memiliki alasan jelas kerana Kepulauan Riau diiktiraf sebagai sebahagian daripada wilayah Indonesia di peringkat antarabangsa.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram